MIRI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan sistem penggredan makanan dan minuman sebagai sebahagian daripada usaha bersepadu bagi mencegah penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan rakyat.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, sistem berkenaan akan dilengkapi dengan penganjuran kempen War on Sugar bagi mengatasi masalah kesihatan yang berpunca daripada pengambilan gula secara berlebihan.
“Satu daripada komponen utama strategi adalah melalui pengenalan sistem penggredan untuk makanan dan minuman terutamanya untuk produk yang mempunyai kandungan gula yang tinggi.
“Apabila sistem ini dilaksanakan sepenuhnya, setiap makanan dan minuman akan dipaparkan gred yang terdiri daripada A, B, dan C berdasarkan peratusan gula dalam produk.
“Label ini bertujuan memudahkan pengguna menilai kandungan gula dalam pilihan makanan mereka dan membuat keputusan yang lebih tepat demi menjamin kesihatan mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan pemantauan pada aktiviti pengumpulan data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2024: Pemakanan (NHMS 2024) di Masjid Jamal AdDin Taman Jelita di sini, semalam.
Ahli Parlimen Sibuti itu berkata, kempen War on Sugar perlu dilihat secara positif kerana ia bertujuan mengurangkan beban pemakanan yang menyumbang kepada penurunan tahap kesihatan rakyat secara umum.
Menjelas lanjut, beliau berkata, ia terutamanya mengenai penyakit berkaitan pengambilan gula secara berlebihan seperti diabetes dan obesiti.
Lukanisman juga menegaskan, kempen itu juga memban mengurangkan tekanan terhadap perkhidmatan penjagaaan kesihatan yang menyaksikan peningkatan bilangan pesakit yang menghidap NCD akibat pengambilan gula secara berlebihan.
Mengenai NHMS 2024, Lukanisman berkata, ia merupakan usaha utama yang melibatkan pengumpulan data secara menyeluruh mengenai status kesihatan rakyat.
“Bukti saintifik yang diperoleh daripada tinjauan itu nanti penting dalam merangka dasar kesihatan negara.
“Data yang diperoleh akan dapat membantu kerajaan dan pembuat dasar untuk merancang, melaksana dan menilai dasar kesihatan yang berkesan.
“Ini termasuk peruntukan sumber yang lebih tepat untuk pelbagai program dan perkhidmatan kesihatan oleh KKM,” jelasnya.

