KUCHING: Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) bakal menjadi agensi pelaksana yang lebih efisien dan efektif dalam memberi perkhidmatan menerusi pengenalan sistem i-Syariah yang dibangunkan oleh Sarawak Information Systems (Sains).
Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, sistem tersebut sudah pasti akan meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Malah menurutnya, perhubungan warga jabatan dan masyarakat akan bertambah erat kerana maklumat lebih mudah diakses selain mesra pengguna. “Tahniah kepada JKSS kerana menjadi agensi pertama di Malaysia menggunakan sistem pengurusan ini. “Semua maklumat akan berada di hujung jari.
Dengan pembangunan sistem ICT ini, masalah birokrasi dapat dikurangkan dan aduan tentang perkhidmatan dapat disalurkan secara terus. “Ia juga akan membawa banyak manfaat kepada Kerajaan Sarawak khususnya dalam mendapatkan data dan maklumat pelanggan,” katanya ketika berucap melancarkan i-Syariah di Mahkamah Tinggi Syariah, kelmarin.
Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Belalan Air) menjelaskan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) amat penting untuk memperkasa dan mengubah kehidupan masyarakat melalui pelbagai bentuk penyelesaian kepada keperluan pengguna.
“Di Sarawak, ICT bertindak sebagai pemboleh upaya pembangunan dan pertumbuhan ekonomi sejak sedekad lalu. “Saya yakin dan percaya, kebergantungan kita kepada capaian Internet, jalinan dan dan jaringan semakin memuncak apabila berlakunya pendemik Covid-19.
“Malah kita sudah biasa dengan bekerja dari rumah, mesyuarat Zoom, Google Meet, Skype for Business dan pelbagai alat siar raya bagi menyambung perhubungan dan rangkaian ke seluruh Sarawak,” ujarnya.
Beliau turut bangga atas pencapaian jabatan itu kerana mendapat banyak pengiktirafan dalam sektor awam seperi ISO dan EKSA.
“Selepas ini, sudah pasti jabatan ini akan sibuk melayani agensi-agensi lain yang akan datang mela-wat untuk melihat pencapaian,” jelasnya. Ketua Hakim Syarie Awang Suhaili Ledi turut hadir.