KUCHING: Situasi banjir di Sarawak pagi ini dilaporkan terkawal dengan trend pemindahan mangsa masih kekal seperti semalam.
Perkara itu dimaklumkan menerusi laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak yang dikemas kini pada jam 8 pagi.
Menurut laporan berkenaan, hanya satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih beroperasi di seluruh negeri, melibatkan daerah Miri.
“Tiada pembukaan atau penutupan PPS baharu direkodkan dalam tempoh laporan ini,” menurut laporan itu.
Sementara itu, PPS yang terlibat ialah Dewan Serbaguna Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Berkenu yang terus menempatkan mangsa banjir dari kawasan terjejas di sekitar Miri.
Memetik laporan JPBN, seramai 307 mangsa daripada 112 Ketua Isi Rumah (KIR) masih berlindung di PPS berkenaan, dengan jumlah pemindahan menunjukkan tiada perubahan berbanding laporan terdahulu.
“Keadaan ini mencerminkan situasi banjir yang masih belum pulih sepenuhnya, namun tidak menunjukkan peningkatan yang membimbangkan setakat ini.
“Pihak berkuasa terus menjalankan pemantauan rapi bagi memastikan kebajikan mangsa terpelihara serta keperluan asas di PPS mencukupi.
“Orang ramai, khususnya penduduk di kawasan berisiko, dinasihatkan agar sentiasa berwaspada terhadap perubahan cuaca dan paras air serta mematuhi arahan pihak berkuasa,” menurut laporan itu.
JPBN akan terus menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa bagi memastikan orang awam menerima maklumat yang tepat dan sahih berkaitan situasi banjir di negeri ini.



