BINTULU: Tiada varian baharu COVID-19 dikesan di negara ini dan situasi kekal terkawal dengan kebanyakan kes melibatkan gejala ringan serta tidak memerlukan rawatan di hospital.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata, varian yang sedang menular di Malaysia adalah masih Omicron, dengan subvariannya XBB.1.16, XBB.1.5, EG.5 dan termasuk JN.1
“Subvarian Omicron yang sedang menular ini tidak menyebabkan kes yang lebih teruk.
“Namun harus diingat virus COVID-19 akan terus berada bersama kita, sama seperti virus salur pernafasan yang lain seperti influenza.
“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan keseimbangan dari segi kesihatan dan kehidupan semasa musim peningkatan kes-kes jangkitan berjangkit,”katanya.
Tambah beliau lagi, untuk Minggu Epidemiologi ke-51 iaitu dari 17 hingga 23 Disember lalu, kadar kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital adalah 0.5, peratus manakala kadar kematian 0.08 peratus.
“Ini bermaksud kadar untuk kedua-dua parameter ini kekal pada tahap yang rendah,”ujarnya.
Tegasnya, Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) akan terus memantau situasi COVID-19 dan varian berkaitan dari semasa ke semasa.

