DARO: Kerajaan memperuntukkan RM900,000 bagi melaksanakan dua projek pembangunan infrastruktur di SK Kampung Sawai tahun ini bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan warga sekolah.
ADUN Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk membina sebuah titian belian serta melaksanakan projek gabion bagi mengatasi masalah hakisan tanah di kawasan sekolah.
Menurutnya, pelaksanaan kedua-dua projek berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kemudahan pendidikan di kawasan luar bandar sentiasa berada pada tahap terbaik demi kesejahteraan murid, guru dan warga sekolah.
“Penyediaan prasarana yang selamat dan kondusif bukan sahaja menjamin keselamatan pengguna, malah menyokong kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Sukan Tahunan SK Kampung Sawai, semalam.
Dalam pada itu, Dr Safiee berkata penganjuran kejohanan sukan memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah murid, memupuk disiplin, semangat berpasukan, daya tahan mental dan sikap saling menghormati.
Beliau menjelaskan, pelibatan aktif murid dalam aktiviti kokurikulum mampu melahirkan generasi seimbang dari segi akademik, jasmani dan sahsiah, sekali gus menjadi aset kepada pembangunan negeri pada masa hadapan.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kampung Sawai bagi membantu menjayakan pelbagai program serta aktiviti sekolah sepanjang tahun.
Beliau berharap kerjasama erat antara pihak sekolah, PIBG, ibu bapa dan komuniti setempat terus diperkukuh bagi mewujudkan persekitaran pendidikan yang lebih berkualiti dan kondusif.-TVS



