KUCHING: Projek pembinaan SK Long Pelutan, Baram, Miri yang merangkumi pembinaan 12 blok bangunan telah siap dan meningkatkan akses serta persekitaran pembelajaran di kawasan luar bandar.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak berkata, projek tersebut menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih selesa dan kondusif kepada murid serta warga pendidik di kawasan tersebut.
“Penyiapan projek ini mencerminkan komitmen berterusan JKR Sarawak dalam menyediakan kemudahan infrastruktur pendidikan yang berkualiti.
“Ini khususnya bagi meningkatkan akses dan persekitaran pembelajaran di kawasan luar bandar,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut kenyataan itu, projek tersebut merangkumi pembinaan 12 blok bangunan yang terdiri daripada satu blok pentadbiran empat tingkat yang menempatkan enam bilik darjah, sebuah blok dewan makan, dua blok asrama, serta dua blok tandas bagi kemudahan pelajar.
“Turut dibina ialah tiga blok kuarters guru jenis Semi-D Barrack, dua blok rumah pam air dan satu blok rumah genset bagi menyokong operasi kemudahan sekolah.
“Projek ini turut melibatkan kerja-kerja luaran, penyediaan perabot, kerja perobohan serta kerja-kerja mekanikal dan elektrikal.
“Kerja-kerja ini adalah bagi memastikan kemudahan yang lengkap dan berfungsi dengan baik,” jelasnya.






