PAKAN: Sebanyak RM12,000 disalurkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Semawang bagi menyokong usaha memperkukuh pendidikan dan pembangunan modal insan dalam kalangan komuniti setempat.
Sumbangan itu disampaikan sempena Majlis Serumpu bersama komuniti Semawang oleh Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien, yang turut menekankan kepentingan kerjasama antara sekolah, guru, ibu bapa dan masyarakat dalam memastikan pendidikan anak-anak terus diperkasakan.

Datuk Larry berkata pendidikan merupakan antara asas penting dalam membentuk kehidupan generasi akan datang, manakala guru memainkan peranan besar dalam membimbing murid serta membentuk modal insan berkualiti.
“Jasa dan pengorbanan warga pendidik perlu sentiasa dikenang kerana mereka memikul tanggungjawab besar dalam membentuk generasi baharu.
“Ilmu yang dimiliki masyarakat hari ini juga tidak dapat dipisahkan daripada sumbangan dan didikan guru, selain asuhan daripada ibu bapa,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Guru Besar SK Nanga Semawang, Ebin, yang bersara selepas 38 tahun menabur bakti dalam bidang pendidikan.
Menurutnya, selama sembilan tahun berkhidmat sebagai Guru Besar di SK Nanga Semawang, beliau memberikan sumbangan bermakna terhadap perkembangan sekolah serta usaha membentuk modal insan dalam komuniti berkenaan.
“Terima kasih atas segala jasa dan sumbangan beliau serta didoakan agar beliau sentiasa diberikan kesihatan dan kejayaan dalam kehidupan selepas bersara.
“Jasa beliau akan terus dikenang,” katanya.
Datuk Larry turut berharap ibu bapa terus memberikan sokongan kepada pihak sekolah bagi memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang baik dan mempunyai asas kukuh untuk membina masa depan.
Katanya, kerjasama erat antara sekolah, guru, ibu bapa dan komuniti amat penting bagi memastikan agenda pendidikan dapat dilaksanakan dengan berkesan, khususnya di kawasan luar bandar.
“Kerjasama semua pihak penting untuk memastikan anak-anak kita menerima pendidikan yang sebaiknya dan seterusnya mempunyai peluang membina kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya.
Sumbangan kepada SK Nanga Semawang itu mencerminkan usaha berterusan Larry dalam memberi sokongan kepada institusi pendidikan di kawasan luar bandar agar kemudahan dan persekitaran pembelajaran dapat terus diperkasakan.




