Skim baikpulih rumah: Pemimpin akar umbi jangan terlepas pandang

SARIKEI: Usaha Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperkenalkan skim balik pulih rumah untuk rakyat kurang berkemampuan khususnya di DUN N.41 Kuala Rajang bukan bermusim.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, program yang bertujuan meringankan beban pemilik rumah itu dilaksanakan dari semasa ke semasa namun mengikut keperluan dan syarat tertentu.

Menurutnya, di kawasan DUN N.41 Kuala Rajang sahaja, kerajaan memperuntukan RM1juta dan setakat ini, hampir RM700 ribu telah dibelanjakan bagi tujuan berkenaan.

“Walaupun peruntukan sudah disediakan namun kelulusan berhubung perkara tersebut tertakluk dengan keputusan jawatankuasa khas. Jawatankuasa ini dipengerusikan saya sendiri manakala ahli-ahlinya yang terdiri daripada temenggung penghulu dan tuai rumah.

“Sehubungan itu, saya mahu masyarakat termasuk ketua kampung dan tuai rumah mengemaskan kini maklumat penduduk di kawasan masing-masing bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada golongan sasaran,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak selepas mengadakan lawatan ke Bukit Kinyau.

Sehubungan itu, Len Talif yang juga ADUN N.41 Kuala Rajang memerlukan kerjasama semua ketua masyarakat agar mengemukakan maklumat penduduk yang layak menerimanya.

Bagi tujuan itu katanya, Jawatankuasa Baikpulih Rumah bertindak berpandu kepada garis panduan yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak.

Dalam pada itu, beliau juga mahu semua pemimpin peringkat akar umbi itu bersikap lebih proaktif dan rajin turun padang mendampingi penduduk di kawasan masing- masing.

“Ini amat penting bagi mengelak kekeliruan dan tohmahan daripada mereka yang tidak faham atau mempunyai niat jahat dengan memutar belit fakta sebenar,” katanya sambil menambah peruntukan bertujuan mempercepat dan memperluaskan usaha mengatasi permasalahan asas yang dihadapi oleh golongan sasar.

Len Talif (kanan) meninjau salah sebuah rumah yang akan dibaikpulih di Bukit Kinyau.

 

Wakil Pusat Khidmat N.41 Kuala Rajang mengunjungi dan melakukan pemeriksaan ke atas beberapa buah rumah yang bakal dibaikpulih.

 

Skim yang diperkenalkan meringankan beban rakyat kurang berkemampuan.