KUCHING: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah menerima satu permohonan daripada Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) Daerah Bau untuk mewujudkan sebuah stesen minyak dan kawasan rehat dan rawat (RNR) di salah sebuah lokasi sepanjang Lebuhraya Pan Borneo (LPB).
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SKM Amran Abd Kadir berkata, permohonan tersebut akan dibawa ke mesyuarat bulan hadapan untuk membincangkan lebih lanjut mengenai perkara berkenaan.
“Kita lihat di sepanjang LPB, tidak ada satu pun kawasan RNR atau stesen minyak.
“Tetapi, Alhamdulillah permohonan diterima untuk tujuan berkenaan dan ini akan menjadi satu mercu tanda kepada Sarawak nanti.
“Sekali gus, menunjukkan bahawa gerakan koperasi bukan sekadar bank dan kredit sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan cawangan ke-33 Co-op Bank Pertama (CBP) Kuching di Jalan Matang, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau turut menyarankan agar
gerakan koperasi di Sarawak khususnya untuk menceburi bidang-bidang lain yang berprestasi tinggi pada masa akan datang.
“Bidang seperti perladangan, projek perumahan, pemborongan, peruncitan, hartanah, pelancongan dan lain-lain perlu diteroka dan dimanfaatkan sebaiknya,” jelasnya.





