SYARIKAT produksi terkenal, Skop Productions Sdn. Bhd. baru-baru ini menyumbang RM380,000 sebagai tanda prihatin terhadap mangsa bencana yang melanda beberapa kawasan di negara ini.
Menurut Pengarah Urusan, Yusof Haslam, sumbangan tersebut sudah lama dirancang, terutamanya selepas menerima sambutan hangat terhadap produksi filem seperti Blood Brothers: Bara Naga baru-baru ini.
Beliau berkata, rasa simpati terhadap mangsa, khususnya di kawasan Putra Heights, mendorongnya untuk melaksanakan inisiatif ini.
“Tindakan ini adalah hasil nawaitu ikhlas, dilandasi rasa simpati terhadap situasi yang berlaku,” luah Yusof.
Sumbangan berkenaan disalurkan melalui saluran rasmi Tabung Kemanusiaan Media Prima.
Menurut beliau, walaupun Skop melaksanakan pelbagai sumbangan kebajikan sebelum ini, banyak daripadanya dilakukan secara senyap tanpa publisiti.
“Melihat beberapa kenalan turut terjejas membuatkan saya sedar pentingnya menyalurkan bantuan melalui saluran rasmi supaya ia sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” ujarnya.
Beliau turut melihat inisiatif ini sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Malaysia yang menyokong Skop Productions sepanjang hampir 40 tahun penubuhannya, disertai anak-anak beliau yang kini turut meneruskan legasi tersebut.
Dalam perkembangan lain, produksi Blood Brothers 2 dan Sheriff 2 dijangka memulakan penggambaran tahun hadapan. Pada masa yang sama, satu filem bergenre Islamik seram juga sedang dalam perancangan dan bakal dilancarkan tidak lama lagi.



