BETONG: Betong bersedia menerima lebih 100,000 pengunjung sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Peringkat Bahagian Betong di Kompleks Sukan Betong, bermula esok hingga Ahad.
Tinjauan Suara Sarawak di lokasi utama mendapati persiapan akhir giat dilaksanakan jawatankuasa penganjur bagi memastikan program tiga hari itu berjalan lancar.

Antara tarikan utama SKS 2026 ialah penyediaan 158 jenis perkhidmatan daripada 48 agensi kerajaan, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan maklumat dan berurusan secara terus dengan agensi berkaitan.
Platform berkenaan turut memberi ruang kepada rakyat menyampaikan pandangan, masalah dan keperluan secara bersemuka kepada agensi kerajaan.

Selain itu, e-Peraduan SKS 2026 menawarkan sebuah Perodua Bezza sebagai hadiah utama, selain lebih 100 hadiah menarik untuk dimenangi.
Pengunjung yang ingin menyertai e-Peraduan itu perlu memastikan aplikasi SarawakPass tersedia di telefon pintar masing-masing.

Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai aktiviti, pertandingan dan program pentas turut disediakan, termasuk acara hiburan pada sebelah malam.
Majlis perasmian SKS 2026 Peringkat Bahagian Betong dijadual berlangsung pada Sabtu dan akan disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

SKS 2026 Peringkat Bahagian Betong merupakan lokasi ketujuh penganjuran program berkenaan tahun ini.
Dalam pada itu, pengunjung dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga berikutan keadaan jerebu yang masih melanda beberapa kawasan, termasuk menggunakan pelitup muka ketika berada di kawasan sesak atau terbuka.




