BETONG: Orang ramai yang berdepan kesukaran menggunakan perkhidmatan kerajaan berasaskan aplikasi digital boleh mendapatkan khidmat nasihat secara terus di kaunter agensi yang disediakan sepanjang Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Peringkat Bahagian Betong.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, kemudahan berkenaan antara pendekatan kerajaan bagi memastikan rakyat tidak tercicir dalam arus pendigitalan perkhidmatan awam.

Menurutnya, SKS bukan sekadar menyediakan pelbagai perkhidmatan kerajaan di satu lokasi, malah menjadi medan untuk rakyat mendapatkan penerangan secara langsung mengenai dasar, kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan.
“Paling menarik, bagaimana agensi membantu rakyat yang menghadapi kesukaran menggunakan perkhidmatan dalam aplikasi digital,” katanya.
“Di sini, agensi menyantuni rakyat dengan mendengar masalah, terutama dalam aspek pendigitalan,” jelasnya.
“Justeru, jika ada sebarang isu atau masalah dalam urusan yang memerlukan aplikasi dalam talian, termasuk melalui telefon pintar, boleh datang ke sini dan pihak agensi akan membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Prapelancaran Program SKS 2026 Peringkat Bahagian Betong di Kompleks Sukan Betong, hari ini.
Rentap berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan penggunaan aplikasi dan sistem digital yang diperkenalkan kerajaan benar-benar memberi kemudahan kepada rakyat, bukannya menjadi penghalang kepada mereka mendapatkan perkhidmatan.
“Tujuannya adalah untuk memastikan aplikasi baharu yang digunakan sekarang ini dapat memudahkan rakyat,” ujarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar itu turut menyatakan SKS 2026 Peringkat Bahagian Betong disasarkan menarik kira-kira 120,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya.

Katanya, sambutan pada hari pertama juga menunjukkan perkembangan menggalakkan dengan orang ramai mula membanjiri lokasi program sejak pagi.
“Pagi ini kita sudah bermula dan sambutan awal sangat memberangsangkan, justeru, menjelang dua hari mendatang, akan lebih ramai yang hadir,” katanya.
“Dari pagi hingga malam, pelbagai acara dijalankan, jadi ayuh jangan lepaskan peluang untuk datang dan memeriahkan program ini,” tambahnya.
“Pengunjung juga berpeluang mencuba nasib membawa pulang hadiah menarik menerusi e-Peraduan, termasuk Perodua Bezza X,” ujarnya.
Pada prapelancaran berkenaan, Rentap turut melawat tapak pameran, menyantuni petugas agensi serta beramah mesra dengan pengunjung yang hadir.
Program SKS 2026 Peringkat Bahagian Betong akan dirasmikan oleh Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, esok.







