SIMANGGANG: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Sri Aman yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat sehingga 1 November depan menyasarkan kehadiran lebih 100,000 pengunjung di Kompleks Sukan Sri Aman.
Pelbagai pengisian menarik disediakan, termasuk pembukaan 170 kaunter perkhidmatan oleh 52 agensi kerajaan, persembahan kebudayaan, konsert rakyat serta e-Peraduan yang menawarkan lebih 100 hadiah menarik dengan sebuah kereta Perodua Bezza sebagai hadiah utama.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program SKS 2026 Zon Selatan Bahagian Sri Aman, Datuk Hii Chang Kee berkata, pelbagai aktiviti dirancang bagi memastikan program itu bukan sahaja menjadi platform hiburan, malah memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan kerajaan di satu lokasi.
“Pada malam 30 Oktober, pengunjung bakal disajikan dengan persembahan kebudayaan dan nyanyian artis, termasuk Mawat, manakala Konsert Rakyat pada malam 31 Oktober akan menampilkan Baby Shima, Bob Yusof serta beberapa artis popular lain.
“Selain itu, e-Peraduan turut menawarkan lebih 100 hadiah menarik, termasuk Perodua Bezza, motosikal, barangan elektronik, gajet dan barangan perhiasan.
“Dengan pelbagai pengisian yang disediakan, kita menyasarkan kehadiran kira-kira 100,000 pengunjung sepanjang program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan Program SKS 2026 Bahagian Sri Aman di Bilik Mesyuarat, Wisma Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), di sini, hari ini.
Jelasnya, penyediaan 170 kaunter perkhidmatan oleh 52 agensi kerajaan menjadi antara tarikan utama program itu, khususnya bagi membolehkan masyarakat mendapatkan pelbagai perkhidmatan dan maklumat berkaitan kerajaan dengan lebih mudah.
“Orang ramai juga berpeluang melihat sendiri pameran yang mengetengahkan usaha serta inisiatif pembangunan Kerajaan Sarawak di negeri ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, Hii menggalakkan penduduk Bahagian Sri Aman dan kawasan sekitarnya hadir bersama-sama keluarga bagi memanfaatkan pelbagai perkhidmatan serta menyertai aktiviti yang disediakan sepanjang tiga hari penganjuran.
Majlis praperasmian SKS 2026 Bahagian Sri Aman pada 30 Oktober dijadual disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Seni, Datuk Snowdan Lawan.
Acara kemuncak pada 31 Oktober pula bakal menyaksikan perasmian program oleh Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Selepas majlis berkenaan, Abang Johari dijadual menghadiri Majlis Makan Tengah Hari Bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Sri Aman sebelum melakukan lawatan ke Jambatan Batang Lupar Dua kira-kira pukul 3 petang.
Terdahulu, Hii bersama-sama Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh mengadakan lawatan ke tapak program bagi meninjau persiapan akhir menjelang penganjuran SKS 2026.
Lawatan itu merangkumi pemeriksaan susun atur ruang pameran, laluan pergerakan pengunjung, keperluan logistik dan aspek teknikal bagi memastikan kelancaran program.
Hii kemudiannya menghadiri mesyuarat penyelarasan bagi memperincikan persiapan akhir, termasuk penyelarasan logistik dan pengisian program.



