ARTIKEL

MORNURAZLI MORSHIDI

SKS dekatkan kerajaan dengan rakyat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARIKEI: Program Sarawakku Sayang di Bahagian Sarikei dilihat sebagai platform berkesan untuk mendekatkan kerajaan dengan rakyat menerusi penyampaian maklumat, perkhidmatan, bantuan dan peluang secara terus kepada masyarakat.

Ketua Pemuda N.41 Kuala Rajang, Mornurazli Morshidi, berkata program itu memberi manfaat khususnya kepada golongan belia yang memerlukan maklumat berkaitan peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran, keusahawanan, pendidikan dan peluang menjana pendapatan.

Beliau menggesa golongan muda mengambil peluang berkenaan dengan mengunjungi reruai agensi kerajaan bagi mendapatkan maklumat yang boleh membantu mereka merancang masa depan.

Mornurazli turut mencadangkan supaya lebih banyak ruang diberikan kepada golongan belia menerusi sesi dialog atau forum khas agar mereka bukan sahaja menjadi peserta, malah rakan strategik kerajaan dalam mencorakkan pembangunan Sarawak.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ADUN N.41 Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh, atas komitmen dan usaha berterusan membawa pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat.

FAKHRUR REZUAN MAHAMAD

Sementara itu, Pengerusi Skuad Antidadah Sarikei, Fakhrur Rezuan Mahamad, berkata SKS memberi peluang kepada rakyat berinteraksi secara langsung dengan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta memahami fungsi dan peranan masing-masing.

Menurutnya, pendedahan itu penting bagi membantu rakyat mengenal pasti saluran yang tepat untuk mengemukakan aduan, mendapatkan bantuan atau menyelesaikan isu yang dihadapi komuniti.

Program itu turut membantu meningkatkan literasi digital masyarakat menerusi pendedahan kepada aplikasi dan portal kerajaan, termasuk kemudahan membuat aduan dalam talian, mendapatkan maklumat bantuan serta menggunakan platform digital untuk urusan perkhidmatan awam.

Bagi golongan belia, katanya, SKS menyediakan maklumat berkaitan peluang melanjutkan pengajian, biasiswa, latihan kemahiran dan pembangunan kerjaya yang dapat membantu mereka merancang masa depan dengan lebih teratur.

Fakhrur Rezuan berharap SKS diteruskan dengan lebih kerap menerusi pendekatan bersasar, termasuk siri jelajah ke sekolah bagi mempromosikan peluang biasiswa, pendidikan tinggi dan latihan kemahiran.

Beliau turut mencadangkan pengenalan kiosk bergerak bagi membawa perkhidmatan dan maklumat kerajaan secara terus ke kawasan kampung serta pedalaman supaya tiada komuniti tercicir daripada menikmati manfaat pembangunan.

ISMAILI JOHARIE

Dalam pada itu, Ismaili Joharie menyifatkan SKS sebagai wadah untuk kerajaan berkongsi pencapaian, perancangan dan hala tuju pembangunan Sarawak menjelang 2030 secara langsung dengan rakyat.

Katanya, kehadiran pelbagai jabatan dan agensi kerajaan dalam satu lokasi memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat, mengemukakan pertanyaan serta memperoleh perkhidmatan tanpa perlu melalui pelbagai saluran.

Beliau berkata, penganjuran SKS turut memberi kesan positif kepada ekonomi setempat apabila kehadiran pengunjung membuka peluang kepada peniaga kecil dan usahawan tempatan memperkenalkan produk serta mengembangkan perniagaan mereka.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU