SIBU: Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sibu 2026 memainkan peranan penting sebagai jambatan yang menghubungkan kerajaan dengan rakyat bagi memastikan usaha kerajaan dapat disampaikan secara lebih berkesan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, melalui pendekatan itu, segala bentuk bantuan, inisiatif dan perkhidmatan dapat disalurkan secara lebih berkesan kepada komuniti yang memerlukan.

Katanya, penganjuran SKS Bahagian Sibu berlangsung dengan jayanya sepanjang tiga hari, sekali gus menghimpunkan pelbagai agensi dan perkhidmatan kerajaan untuk manfaat masyarakat setempat.
“Justeru, dalam usaha membangunkan Sarawak, kita juga perlu terus memelihara perpaduan dan keharmonian yang telah sekian lama menjadi tunjang kestabilan negeri ini.
“Kemajuan yang kita capai hari ini adalah hasil kerjasama rakyat pelbagai kaum, agama dan latar belakang yang hidup bersama dalam suasana aman serta saling menghormati antara satu sama lain,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Pejabat Residen Bahagian Sibu, semua agensi yang terlibat serta para pengunjung yang telah menjayakan program tersebut.
“Semoga usaha seperti ini terus memperkukuh kesejahteraan rakyat dan memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada arus pembangunan Sarawak,” ujarnya.
Untuk rekod, SKS Bahagian Sibu 2026 yang berlangsung dari 10 hingga 12 Julai lalu melabuhkan tirainya dengan merekodkan kehadiran keseluruhan 101,030 pengunjung, sekali gus jauh mengatasi sasaran awal 30,000 pengunjung.
Berdasarkan rekod Sekretariat SKS, program itu merekodkan kehadiran 21,566 pengunjung pada hari pertama, 44,528 pada hari kedua dan 34,936 pada hari terakhir.
Program yang berlangsung di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang itu turut mencatatkan nilai jualan sebanyak RM444,632.60 menerusi segmen Sibu Kitchen & Sales, sekali gus memberi manfaat kepada usahawan tempatan.






