KUCHING: Skuad bola sepak mengambil pendekatan sederhana dalam menetapkan sasaran pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor, dengan fokus utama untuk melepasi peringkat kumpulan sebelum menyasarkan pencapaian lebih tinggi.
Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Fazzrudin Abdul Rahman, berkata strategi memainkan peranan penting ketika Sarawak bersiap sedia menghadapi dua lawan di peringkat kumpulan, iaitu Sabah dan Terengganu.

“Kami siap sedia untuk menghadapi temasya kali ini, beberapa pasukan yang akan kami hadapi merupakan pasukan yang pernah kami lawan sebelum ini dalam kempen Piala Presiden.
“Kami berada dalam satu kumpulan bersama Sabah dan Terengganu, jadi strategi akan memainkan peranan penting.
“Kami perlu berhati-hati untuk saingan di peringkat kumpulan dan pemain harus sentiasa fokus,” katanya.
Fazzrudin berkata, Sarawak turut akan menggunakan peringkat kumpulan untuk menilai kekuatan lawan, khususnya Sabah dan Terengganu yang disifatkannya sebagai pasukan kuat.
“Kami berpeluang menyaksikan kedua-dua pasukan sebelum mereka bertemu kami, jadi kami boleh mengkaji cara permainan mereka dan membuat persiapan sewajarnya.
“Sasaran kami adalah untuk mara ke suku akhir, tetapi jika berjaya melangkaui peringkat itu, ia merupakan satu bonus,” katanya kepada Arena Suara Sarawak ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di padang Sarawak Energy semalam.
Beliau berkata, usia muda barisan pemain juga boleh menjadi kelebihan, dengan pengalaman beraksi di temasya SUKMA kali ini dijangka membantu mereka maju dengan lebih jauh lagi.
“Pemain-pemain ini masih muda dan kebanyakan mereka masih layak beraksi pada SUKMA akan datang.
“Jadi, sasaran sebenar kami adalah SUKMA seterusnya,” katanya.
Fazzrudin menegaskan bahawa Sarawak tidak mahu terlalu memikirkan perjalanan yang masih jauh, sebaliknya memberi keutamaan untuk melepasi peringkat kumpulan terlebih dahulu sebelum memberi tumpuan kepada pusingan kalah mati.
“Kami mahu melepasi peringkat kumpulan terlebih dahulu.
“Sebaik sahaja kami mara ke pusingan seterusnya, barulah kami dapat merasai suasana karnival itu dan memberikan segala-galanya,” katanya.
Sarawak diundi berada dalam Kumpulan A dan aksi pertama akan menentang Sabah pada 13 Ogos, disusuli aksi kedua menentang Terengganu pada 15 Ogos.



