SERIAN: Meskipun menampilkan hanya empat atlet, skuad gimnastik artistik Sarawak berjaya menamatkan saingan kedudukan 10 terbaik dalam acara final berpasukan gimnastik artistik lelaki pada Sukan Malaysia ke-21 (SUKMA XXI).
Acara yang berlangsung di Pusat Persidangan Serian di sini semalam, menyaksikan pingat emas acara berpasukan menjadi milik skuad enam anggota dari Pulau Pinang, Johor meraih perak manakala Sabah memperoleh gangsa.
Sementara Sarawak diwakili Muhammad Nazrieez Zanial Najib; Mohamad Aqiel Tsaqief Mohamad Azfar; Joachim Rafael Ambrose dan Hanis Firdaus Bashir, merangkul tempat kelapan daripada 13 kontinjen sekali gus mengumpul markah keseluruhan 246.700.

Ketua jurulatih skuad gimnastik artistik Sarawak, Yuri Basishvili berkata, kekurangan skuad seramai enam anggota antara cabaran utama pasukan Sarawak kerana ia memberikan kelebihan kepada pasukan lain.
Pasukan-pasukan ini katanya, dapat menggilirkan atlet menggunakan peralatan yang berbeza di samping meningkatkan potensi pemarkahan mereka.
“Sebaliknya skuad Sarawak yang baharu memulakan latihan sejak dua tahun lalu masih membina kemahiran dari bawah dan lebih sukar bagi kami kerana pasukan lain mempunyai kelebihan dengan enam atlet.
“Mereka boleh menukar gimnas mereka pada setiap peralatan untuk bermain mengikut kekuatan, menjadikannya lebih mudah untuk mereka mendapatkan markah lebih tinggi.
“Apabila saya mula-mula menjadi jurulatih dua tahun lalu, kami bermula dengan hanya tiga remaja lelaki yang tidak mempunyai apa-apa kemahiran. Enam bulan kemudian, kami menambah seorang lagi, tetapi ia masih tidak mencukupi untuk mencapai tahap persaingan ini.
“Kami memerlukan enam atlet. Walaupun begitu, mereka melakukan kerja yang hebat,” katanya.
Di samping itu, dalam final gimnastik artistik lelaki, Joachim menduduki tempat ke-14 dengan mata 63.500, Nazrieez menduduki tempat ke-21 dengan 61.325 mata, Hanis mendapat tempat ke-22 dengan 61.275 mata, dan Aqiel di tempat ke-24 dengan 60.600 mata.
Pingat emas keseluruhan dimenangi oleh Muhammad Bariq Adif Mat Daut dari Johor, diikuti pemenang pingat perak Nor Adam Hazziq Nor Azman dari Kelantan, dan pemenang pingat gangsa Wilson Wei Sin Yeoh dari Pulau Pinang.
Pada masa sama, skuad gimnastik artistik wanita Sarawak bakal berentap bagi acara berpasukan dan final gimnastik artistik wanita, hari ini.



