KUCHING: Skuad hoki lelaki dan wanita Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak akan mengadakan siri jelajah ke beberapa buah negeri di Semenanjung pada tarikh yang akan diumumkan nanti.
Setiausaha Kehormat Persatuan Hoki Negeri Sarawak (PHNS) Kangot Awan berkata, perancangan tersebut sebagai pendekatan ke arah meningkatkan keserasian dan persefahaman dalam kalangan pemain kedua-dua pasukan terbabit.
Menurutnya lagi, ia mengambil kira siri jelajah tersebut selain pendedahan awal kepada pemain untuk sesi latihan di luar Sarawak.
Pada masa sama katanya, pemain kedua-dua pasukan akan diuji kemampuan mereka menerusi beberapa perlawanan persahabatan.
“Ikut perancangan awal, kita mahu membawa pemain kedua-dua pasukan ke beberapa buah negeri di Semenanjung seperti Selangor, Negeri Sembilan selain Kuala Lumpur.
“Sepanjang tempoh tersebut, kita akan mengadakan perlawanan persahabatan di negeri terbabit,” ujar beliau kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau menegaskan, pihaknya masih belum memuktamadkan tarikh bagi membawa pemain untuk program tersebut.
Bagaimanapun, ia mungkin dilaksanakan sama ada bulan April atau Mei depan.



