KUCHING: Pasukan kriket wanita Sarawak tidak meletak sebarang sasaran pada penampilan di Kejohanan Kriket Wanita (T10) Bali, Indonesia 2025 yang akan berlangsung dari 12 hingga 18 April ini.
Sebaliknya, memadai bagi skuad pembangunan kendalian Pramuka Liyanage (ketua jurulatih) memperaga aksi terbaik sepanjang kejohanan itu berlangsung.

Presiden Persatuan Kriket Sarawak (SCA), Awang Mahyan Awang Mohamed memberitahu, skuad kali ini mempertaruhkan 13 pemain muda yang merupakan tonggak utama semasa temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI 2024.
Menurut Mahyan, beliau percaya tugas amat memcabar menanti barisan pemain yang diberi kepercayaan bersaing dalam kejohanan kali ini.
Mengambil kira Sarawak pada kejohanan itu diundi berada dalam Kumpulan B bersama Filipina (Pasukan Kebangsaan) selain dua wakil tuan rumah Cilegon (Bupati Indonesia) dan West Java Spartan (Bupati Indonesia).
Yang pasti kata Mahyan, dengan persiapan rapi dilakukan pemain menerusi latihan dijalankan sebelum ini selain pengalaman dimiliki mereka sepanjang temasya Sukma XXI 2024,i diharap mampu menjadi penanda aras terbaik bagi mereka mengharungi kejohanan berstatus antarabangsa itu.
“Tiada sebarang sasaran diletakkan kepada pemain pada kejohanan itu, akan tetapi saya percaya mereka akan berusaha untuk memberikan yang terbaik pada saingan sebenar kelak,” ujar Mahyan ketika ditemui Arena Suara Sarawak di Padang Kriket Borneo, Petra Jaya sebentar tadi.
Mahyan menyifatkan, penampilan barisan pemain muda dalam skuad terbabit merupakan satu pendedahan terbaik buat mereka.
Ini kerana, pasukan lawan yang bakal ditentang turut diperkuatkan dengan barisan pemain kebangsaan berpengalaman.
Sarawak untuk aksi pertama peringkat kumpulan akan menentang Wets Jaya Spartan (Bupati Indonesia) pada 14 April. Disusuli perlawanan kedua menentang Filipina (Skuad Kebangsaan) pada 15 April, sebelum menentang Cilegon (Bupati Indonesia) pada 16 April nanti.



