KOTA SAMARAHAN: Skuad futsal bawah 15 tahun, V-Foss AFT, yang semakin digeruni, berazam untuk lebih fokus pada setiap kejohanan yang akan disertai.
Keinginan ini bertujuan memastikan kem kendalian Abdul Muhtalip Tegak mampu mencetak lebih banyak kejayaan, sekaligus merealisasikan hasrat awal penubuhan skuad untuk menempatkan diri di pentas terbaik dalam sukan bola sepak lima sebelah di Sarawak.
“Skuad ini masih baharu dalam kancah futsal, tetapi prestasi yang dipamerkan oleh barisan pemain cukup hebat. Justeru, saya percaya skuad ini mampu lebih menyerlah selepas ini,” ujar Muhtalip kepada Arena Suara Sarawak.
Muhtalip merujuk kepada penyertaan skuad dalam Karnival Futsal Piala Remaja Bawah 15 Tahun 2025 hujung minggu lalu.
Katanya, pasukan tersebut berpuas hati dengan pencapaian tempat ketiga bersama selepas tewas di peringkat separuh akhir.
“Kita berjaya menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik pada karnival tersebut. Ia adalah pencapaian yang cukup baik bagi para pemain,” tambah Muhtalip.



