KUCHING: Pasukan renang para Sarawak berprestasi cemerlang pada Kejohanan Sirkit 2 Para Renang Kebangsaan 2025, MSN/ALLIANZ/PREPMA yang berlangsung di Pusat Akuatik Negeri Kedah, Alor Setar, Kedah bermula dari 22 hingga 24 Ogos lalu.
Mereka berjaya meraih 34 pingat keseluruhan dengan 14 emas selain 10 pingat perak dan 10 gangsa.
Satu pencapaian cukup cemerlang bagi kem kendalian Syarbini Kedri yang mempertaruhkan seramai 14 orang perenang.
“Pencapaian cukup hebat dipamerkan perenang pada kejohanan tersebut.
“Kejayaan tersebut berkat kerja keras atlet semua yang sentiasa fokus sepanjang menjalani latihan selama ini,” ujar Syarbini kepada Arena Suara Sarawak.

Beliau mengakui perenang para Sarawak diberi tentangan sengit lawan dari negeri lain namun mereka berjaya memberikan yang terbaik pada setiap acara masing-masing.
Tegas Syarbini, antara barisan perenang yang merupakan penyumbang pingat pada kejohanan tiga hari itu ialah Arusdianto Rusmadi (6 emas, 1 perak), Galang Jabai (2 emas, 6 perak), Ng Jia Tak (1 emas, 2 perak, 4 gangsa), Safwan Emman (2 emas, 1 perak), Sereen Lulong (1 emas, 2 gangsa), Mohd. Zia (3 emas, 1 perak), Rapelson (1 emas, 1 perak, 1 gangsa), Mohd. Firdaus (1 emas, 3 perak, 1 gangsa), Gary (1 emas, 1 gangsa), Sheena (1 emas, 1 gangsa), Alvin (1 emas, 1 gangsa) dan Fattah (1 gangsa).



