KUCHING: Penganjuran Festival Sastera Sarawak (SLF) 2026 pada 23 hingga 27 September ini di Miri dijangka menarik sekitar 20,000 hingga 50,000 pengunjung sepanjang lima hari program berlangsung.
Pustaka Negeri Sarawak berkata, festival sulung anjuran Pustaka Negeri Sarawak ini sekali gus menyokong aspirasi Miri untuk diiktiraf sebagai Bandar Kesusasteraan UNESCO.
“SLF2026 menjadi platform penting untuk memperkukuh momentum ke arah aspirasi Miri menjadi UNESCO Creative Cities Network (UCCN) dalam bidang kesusasteraan.
“Dengan menghimpunkan pihak berkepentingan dalam bidang kesusasteraan, pendidikan, kebudayaan, pelancongan dan industri kreatif, kita boleh mengekalkan momentum tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Katanya, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka hadir bagi merasmikan program pada 24 September 2026.
Dalam pada itu, program bakal menghimpunkan penulis, penerbit, penggiat budaya dan masyarakat untuk meraikan kesusasteraan serta warisan Sarawak.
“Selain, turut menggabungkan Festival Pesta Buku, Festival Penulis Buku dan Festival Sarawakiana dalam satu penganjuran bersepadu yang menghubungkan pembacaan, penerbitan dan penghayatan budaya.
“Melalui gabungan tersebut, pengunjung berpeluang menemui penulis, mengenali karya tempatan dan menyertai aktiviti yang mendekatkan kesusasteraan dengan kehidupan seharian,” katanya.
Menurutnya lagi, SLF2026 dirangka untuk melibatkan peminat buku, pendidik, pelajar, keluarga serta masyarakat daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang.
Tambahnya, pendekatan ini juga diharap dapat mengukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, institusi pendidikan, perpustakaan, persatuan kesusasteraan, organisasi kebudayaan dan industri kreatif.
Kerjasama yang berterusan boleh membuka ruang kepada kegiatan membaca, penulisan dan perkongsian warisan untuk diteruskan sepanjang tahun.
Sementara itu, lokasi utama penganjuran di Stadium Tertutup Miri, manakala program terpilih turut berlangsung di Pustaka Negeri Sarawak, Miri dan Pusat Kraftangan Miri.
Pelbagai pengisian program menarik bakal ditampilkan termasuk persembahan daripada artis tanah air seperti Hafiz Suip, Bob Yusuf, Alena Murang dan lain-lain.

