BINTULU: Pertandingan slingshot atau lastik berpotensi dikembangkan sebagai produk pelancongan berasaskan komuniti bagi menarik lebih ramai peminat dan pengunjung dari luar Bintulu, kata Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Steven Kong Kai Seng.
Beliau berkata penyertaan peminat dari Mukah, Sibu dan Miri dalam Pertandingan Slingshot Terbuka Bintulu membuktikan aktiviti berasaskan komuniti itu mempunyai potensi untuk diperluas pada skala lebih besar.

Menurutnya, selain menjadi platform untuk menguji kemahiran, ketepatan dan fokus, pertandingan berkenaan turut menyediakan ruang kepada masyarakat untuk berinteraksi serta mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti.
“Dengan pelibatan peserta dari luar Bintulu, pertandingan seperti ini boleh dikembangkan dan berpotensi menjadi antara aktiviti menarik yang menyumbang kepada kepelbagaian produk pelancongan komuniti di Bintulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penutupan Pertandingan Slingshot Terbuka Bintulu anjuran Kampung Laut Slingshot Club di Dewan Masyarakat Jepak, di sini, pada Ahad.
Seramai 84 peminat slingshot dari Bintulu, Mukah, Sibu dan Miri menyertai pertandingan berkenaan.
Dalam pertandingan itu, Udin dari Kelab Slingshot Rejang, Sibu muncul juara dan membawa pulang wang tunai RM350 serta medal.
Izzul Arshad Ibrahim menduduki tempat kedua dengan menerima wang tunai RM250 dan medal, manakala Ammar Fathullah Mohammad Azril di tempat ketiga membawa pulang wang tunai RM150 serta medal.
Steven berkata penganjuran aktiviti komuniti secara konsisten juga mampu memberi manfaat kepada ekonomi setempat sekiranya berjaya menarik penyertaan peserta dan kehadiran pengunjung dari luar kawasan.
Sehubungan itu, beliau berharap pertandingan berkenaan dapat diteruskan dan diperkasakan dengan penyertaan lebih ramai peserta serta komuniti dari pelbagai kawasan pada masa akan datang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kampung Laut Slingshot Club selaku penganjur serta mengucapkan tahniah kepada semua peserta atas penyertaan mereka dalam pertandingan berkenaan.



