ARTIKEL

Gambar hiasan

Slip loteri kecil jadi mimpi ngeri, wanita didenda RM3,300

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang wanita didenda RM3,300 atau tiga minggu penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana membeli sekeping tiket loteri awam secara haram.

Mina, 35, yang bekerja sebagai juruwang, mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang dibacakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Abdurrahman Abrar Jarni.

Mengikut pertuduhan, dia melakukan kesalahan itu di sebuah kedai runcit di Jalan Penrissen pada sekitar jam 3.30 petang, 26 Oktober lepas.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum denda sehingga RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, sepasukan polis telah menyerbu kedai runcit itu sempena Op Dadu kerana dipercayai terdapat aktiviti penjualan tiket loteri awam tanpa lesen.

Semasa serbuan, pihak polis menahan seorang wanita kerana disyaki menjalankan aktiviti judi atas talian dengan menggunakan telefon bimbit.

Tertuduh ditahan bersama barang rampasan seperti sebuah telefon bimbit, sekeping kertas bercetak nombor loteri, sebatang pen, mesin cetak mobil dan 18 keping wang tunai.

Hasil siasatan mendedahkan laporan pakar judi bahawa sekeping keratan kertas yang dirampas daripada tertuduh mengandungi angka-angka loteri awam tidak berlesen.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Asmawi Nur Haqim Mokhtar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU