KUCHING: Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) siap sedia menanti kehadiran pemain muda dari negara terlibat dalam Kejohanan Tenis Remaja Dunia (Lelaki & Wanita) Berpasukan Bawah 14 Tahun Pusingan Akhir Kelayakan Asia/Ocenia 2024.
Presiden SLTA Datuk Patrick Liew menjelaskan, kejohanan berprestij yang merupakan aktiviti tahunan itu akan bermula dari 16 hingga 31 Mac depan di gelanggang tenis SLTA, Jalan Budaya.
“Kita sudah bersedia menanti pemain dari negara terlibat untuk kejohanan itu yang akan berlangsung Mac depan.
“Dengan kemudahan gelanggang yang begitu selesa di sini untuk pemain berstatus antarabangsa itu, ” ujar beliau pada sidang media ringkas semasa Majlis Makan Malam Tahun Baru Cina SLTA, malam tadi.
Menurut Patrick, kebanyakan negara tidak sanggup menjadi tuan rumah untuk saingan tersebut ekoran pertembungan dengan bulan puasa.
Jadi tegas beliau, (Sarawak) satu-satunya yang berani mengambil cabaran untuk menjadi medan pertembungan pemain muda berkenaan.
Tambah Patrick, kebiasaan 16 buah negara yang akan turut dalam kejohanan itu dan ketika ini 14 buah sudah diketahui.
“Kita akan tahu secara muktamad senarai pasukan atau negara terlibat minggu depan,” katanya lagi.






