SUBANG: Sebanyak 11 anggota dan pegawai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) berlepas ke Nepal pagi ini bagi membantu operasi mencari dan menyelamat susulan banjir serta tanah runtuh.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata misi yang diketuai Komander SMART Penguasa Kanan Bomba 1 Abdul Manaf Che Isa itu dijangka berlangsung selama 10 hari.
Beliau berkata pasukan berkenaan mempunyai kepakaran dalam operasi mencari dan menyelamat, dron, logistik, komunikasi serta sokongan teknikal, selain akan membantu rakyat Malaysia yang terjejas.
Menurut Bernama, pesawat A400M TUDM yang membawa 31 anak kapal turut membawa pasukan SMART dan 12.4 tan peralatan SAR termasuk kelengkapan menyelamat, alat pengesan, sistem komunikasi, dron serta peralatan khas untuk operasi penyelamatan terowong.
Pada 30 Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penghantaran SMART ke Nepal serta sumbangan USD1 juta kepada negara itu, manakala 55 rakyat Malaysia masih gagal dihubungi susulan bencana pada 26 Ogos dan angka korban dilaporkan meningkat kepada 1,220 orang.


