KUCHING: Ketika industri semikonduktor global berkembang pesat, Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor mengajak rakyat Malaysia, khususnya anak Sarawak, menyertai sektor berteknologi tinggi itu.
SMD dalam kenyataan hari ini berkata, pelajar, graduan baharu dan profesional berpengalaman berpeluang meneroka kerjaya dalam reka bentuk cip, kecerdasan buatan terbenam (embedded AI) dan elektronik kuasa.

Mereka boleh melawat Reruai SMD #6030, Dewan 6, sempena Malaysia Semiconductor Recruitment Day (MSRD) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 8 hingga 11 Oktober ini.
Menurut Pengerusi SMD Semiconductor, Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar, visi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, untuk menjadikan negeri itu sebagai ‘Nadi Silikon Asia’ menjadi asas kepada usaha memupuk bakat tempatan dalam bidang semikonduktor.

“Pembangunan bakat bukan sahaja membina inovasi, tetapi juga memberi peluang kepada rakyat Sarawak dan Malaysia memainkan peranan langsung dalam pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil, berkata syarikat itu komited membawa kisah dan potensi bakat Sarawak ke peringkat global melalui program pembangunan insan serta laluan kerjaya yang jelas dalam industri semikonduktor.
“Fokus kami sentiasa tertumpu pada pembangunan insan, terutamanya bakat Sarawak, bagi memastikan mereka mempunyai tempat dalam industri ini.
“Ini lebih daripada sekadar pengambilan kerja; ia tentang membuka laluan kepada peluang global dalam bidang yang menjadi tunjang teknologi daripada telefon pintar hingga satelit. Di SMD, warga kerja diberi ruang untuk berkembang, berinovasi dan membantu meletakkan Sarawak sebagai pemain penting dalam landskap teknologi Malaysia dan serantau,” katanya.
Beliau berkata, selain melatih tenaga kerja dalam reka bentuk litar bersepadu (IC) dan projek sebenar, SMD turut mempelopori Program Penguasaan Semikonduktor, inisiatif peningkatan kemahiran selama enam bulan yang kini dikendalikan oleh Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS).
Sebagai syarikat reka bentuk cip tanpa kilang (fabless) milik kerajaan Sarawak yang pertama, SMD antara lebih 30 majikan utama yang menyertai MSRD 2025, yang turut menawarkan temuduga segera pada 10 dan 11 Oktober ini serta lebih 500 kekosongan dalam pelbagai bidang kejuruteraan dan teknologi.
MSRD 2025 dianjurkan oleh SIDEC, Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM) dan Malaysia Semiconductor IC Design Park, bersempena Selangor Smart City and Digital Economy Convention (SDEC) 2025.




