KUCHING: Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor dan University of Bristol bekerjasama dalam reka bentuk, pembangunan dan pengkomersialan teknologi semikonduktor sebatian, dengan tumpuan kepada Gallium Nitride (GaN) dan Gallium Oxide.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata University of Bristol akan membawa kepakaran akademik bertaraf antarabangsa serta kemudahan penyelidikan terkini, manakala SMD Semiconductor memastikan hasil penyelidikan kekal sejajar dengan keperluan industri dan keutamaan teknologi strategik Sarawak.
Justeru, beliau optimis perkongsian industri-akademia itu akan memperkukuh keupayaan Sarawak untuk menterjemahkan penyelidikan termaju kepada aplikasi dunia sebenar, produk serta keupayaan industri jangka panjang.
Beliau menambah melalui pelibatan Yayasan Sarawak, kerjasama itu turut merangkumi penajaan berstruktur bagi program Doktor Falsafah (PhD) di University of Bristol bagi memastikan pembangunan bakat Sarawak dihubungkan secara langsung dengan penyelidikan bertaraf dunia dan keperluan industri masa hadapan.
“Sarawak sedang menterjemahkan visi jangka panjang kepada keupayaan sebenar melalui pelaksanaan yang sistematik serta kerjasama strategik.
“Melalui SMD dan kerjasama seperti ini bersama University of Bristol dan Yayasan Sarawak, kami memperkukuh pembangunan bakat generasi muda serta kedudukan Sarawak sebagai rakan strategik dalam ekosistem semikonduktor global,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara SMD Semiconductor, Yayasan Sarawak dan University of Bristol, United Kingdom di Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya hari ini.
Hadir sama Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Roland Sagah Wee Inn, Setiausaha Kewangan Sarawak merangkap Pengerusi SMD Semiconductor Datuk Seri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor Shariman Jamil, Pengarah Yayasan Sarawak Datu Mohamad Junaidi Mohidin dan Pengarah Akademik serta Ketua Projek REWIRE, University of Bristol Profesor Martin Kuball.
Dalam pada itu, Abang Johari menyifatkan kerjasama tersebut menandakan satu lagi langkah penting dalam perjalanan Sarawak untuk membina sebuah ekonomi berteknologi tinggi, berasaskan pengetahuan dan berhubung secara global.
Beliau menambah kerjasama itu turut menyokong pelaksanaan Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030 yang selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca-Covid (PCDS) 2030 serta pelan pembangunan Sarawak yang lebih menyeluruh.
“Pendekatan kami adalah jelas dan konsisten iaitu membina ekonomi yang mampan dan dipacu inovasi melalui pelaburan dalam teknologi, bakat serta perkongsian strategik yang memberi impak jangka panjang.
“Industri semikonduktor khususnya semikonduktor sebatian merupakan pemacu utama kepada teknologi generasi akan datang termasuk elektronik tenaga, sistem tenaga boleh diperbaharui, pusat data, kecerdasan buatan dan infrastruktur digital, sekali gus menyokong masa depan rendah karbon dan berasaskan elektrifikasi,” katanya.


