JULAU: SMK Julau mencipta sejarah apabila menjadi sekolah menengah pertama di daerah ini yang menawarkan pengajian tingkatan enam, sekali gus membuka lembaran baharu dalam pembangunan pendidikan prauniversiti tersebut.
ADUN Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkata, penubuhan tingkatan enam di sekolah itu merupakan satu pencapaian penting yang bakal memberi manfaat besar kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kawasan Julau dan sekitarnya sekali gus mengakhiri penantian selama 60 tahun.
Sebelum ini katanya, pelajar dari SMK Julau dan SMK Julau No. 2 terpaksa melanjutkan pengajian tingkatan enam di SMK Meradong kerana ketiadaan pusat pengajian prauniversiti di daerah berkenaan.
Katanya, keadaan itu bukan sahaja membebankan pelajar, malah turut meningkatkan kos yang perlu ditanggung oleh keluarga mereka, termasuk perbelanjaan perjalanan dan penginapan.
“Lebih menyedihkan, apabila pelajar memasuki tingkatan enam atas tidak dibenarkan tinggal di asrama dan terpaksa mencari tempat tinggal sendiri bagi meneruskan pengajian.
“Sebagai wakil rakyat, saya melihat keadaan ini amat membebankan dan menyentuh hati. Oleh itu saya memohon kepada kerajaan agar mempertimbangkan penubuhan tingkatan enam di SMK Julau,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan serta menyantuni kumpulan pelajar perintis tingkatan enam SMK Julau di sini hari ini.
Bagi sesi pertama, seramai 98 pelajar mendaftar sebagai pelajar tingkatan enam di SMK Julau yang melibatkan tiga kelas pengajian.

