SMK Kidurong juara CIP KPS

BINTULU: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kidurong menjuarai pertandingan Cabaran Interaktif Pengguna Kelab Pengguna Sekolah (CIP KPS) Zon Utara Tahun 2020 yang diadakan di Taman TUMBINA di sini, hari ini.

Naib juara dan tempat ketiga masing- masing dimenangi pasukan SMK Kubong, Limbang dan SMK Bintulu.

Juara membawa pulang wang tunai sebanyak RM300, piala dan sijil penyertaan, naib juara(wang tunai RM250, piala dan sijil) dan tempat ketiga(wang tunai RM150, piala dan sijil).

Kemenangan tersebut turut melayakkan pasukan SMK Kidurong dan SMK Kubong, Limbang mewakili Zon Utara ke pertandingan CIP KPS Peringkat Negeri.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu, Tero Anak Bayel.

Program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ini telah dilaksanakan mulai tahun 2011 bagi menggantikan Kuiz Pengguna Sekolah yang telah diadakan sejak tahun 1992.

Tahun 2020 merupakan tahun kesepuluh pelaksanaan CIP KPS.

Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk mendidik, menyebarluas dan meningkatkan kesedaran kepenggunaan di kalangan pelajar melalui pendekatan baharu yang bersepadu.

CIP KPS merupakan acara tahunan berbentuk cabaran interaktif atau explorace yang menguji kecekapan, pengetahuan dan amalan kepenggunaan merangkumi aspek-aspek pengguna bijak, pengurusan kewangan berhemat, pemakanan sihat, pemeliharaan alam sekitar dan kerjasama berpasukan.

Pertandingan ini diadakan di peringkat zon, negeri dan kebangsaan. Juara dan naib juara akan bertanding di peringkat negeri. Hanya satu (1) pasukan terbaik di peringkat negeri akan dipilih untuk bertanding di peringkat kebangsaan yang dijadualkan pada bulan September 2020 di Johor Bahru.

Suara Sarawak