KUCHING: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Bedian, Baram, yang julung kali diiktiraf sebagai pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mencatat sejarah tersendiri apabila 43 calonnya berjaya memperoleh 100 peratus kelayakan menerima sijil.
Lebih manis, pencapaian tersebut turut diserikan dengan kejayaan cemerlang seorang pelajarnya, Willfred Anyie Wellis, yang memperoleh keputusan 8A, sekali gus mengharumkan nama sekolah yang baharu sahaja dinaik taraf sebagai Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11).
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, kejayaan luar biasa itu membuktikan bahawa kecemerlangan pendidikan tidak mengenal sempadan, biarpun SMK Long Bedian terletak jauh di kawasan pedalaman.
“Willfred memperoleh semua A dalam kesemua mata pelajaran yang diambil, telah membuktikan bahawa pelajar luar bandar juga mampu mencapai keputusan cemerlang setanding pelajar di bandar.
“Ini adalah satu pencapaian yang amat membanggakan dan saya berharap agar momentum ini dapat dikekalkan serta diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” katanya pada sidang media pengumuman keputusan SPM 2024 bagi Sarawak, di sini, hari ini.
Tambah beliau, kejayaan keseluruhan calon di sekolah itu menjadi lambang kepada usaha berterusan pelbagai pihak termasuk guru, pentadbir sekolah, ibu bapa serta komuniti setempat dalam memperjuangkan hak pendidikan yang berkualiti untuk semua anak Sarawak.
“Sebelum ini, semua pelajar di kawasan berhampiran SMK Long Bedian mengikuti sesi persekolahan Tingkatan 4 dan 5 termasuk menduduki SPM di SMK Tutoh Apoh, sebuah sekolah yang terletak kira-kira tiga jam perjalanan dari Long Bedian,” jelasnya.
Perpindahan ke SMK Long Bedian selepas sekolah tersebut dinaik taraf kepada Sekolah Model Khas K11, jelasnya, menjadi titik tolak kepada penambahbaikan kemudahan dan persekitaran pembelajaran, sekali gus menyumbang kepada peningkatan prestasi akademik para pelajarnya.
Sementara itu, mengenai pencapaian di peringkat sekolah secara keseluruhan, beliau berkata SPM 2024 menyaksikan sebanyak 28 buah sekolah memperoleh pencapaian 100 peratus layak sijil SPM.
“Ini merupakan peningkatan berbanding 19 buah sekolah pada SPM 2023. Antara sekolah terbabit ialah SMK Tutoh Apoh, SMK Agama Igan, SMK Julau No. 2, SMK Nanga Dap, SMK Baleh, Sekolah Seni Malaysia Sarawak, SMK Sundar, SMK Kubong, SMK Bandar Bintagor dan banyak lagi,” ujarnya.
Selain itu, beliau memberitahu bahawa calon SPM di kawasan bandar mempamerkan peningkatan sebanyak 0.08 mata, iaitu 4.46 pada tahun 2024 berbanding 4.54 pada 2023.
“Pencapaian calon luar bandar juga meningkat sebanyak 0.07 mata, iaitu memperoleh 5.11 berbanding 5.18 pada tahun sebelumnya.
“Ini merupakan perkembangan positif kerana kita sememangnya berusaha untuk merapatkan jurang polarisasi antara bandar dan luar bandar,” tegasnya.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis dan Datuk Dr. Annuar Rapaee serta Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli.



