SMK Mukah sapu bersih  Anugerah Emas Robotik

KUCHING: Pasukan Smart Brain Robotics dari SMK Mukah berjaya memenangi Anugerah Emas kategori Rero Micro dan Rero Junior dalam Pertandingan Robotik dan Coding RAC 2019 Peringkat Negeri yang diadakan di Universiti Swinburne Kuching selama dua hari bermula semalam.

Jurulatih pasukan Cikgu Wa Wee Chien berkata, pertandingan ‘Live Coding’ mencabar minda peserta kerana mereka menerima tugasan ketika pertandingan dijalankan.

“Ia bergantung sepenuhnya pada kemahiran setiap peserta. Kami berasa bersyukur Benedict Kiew dan Chris Nee berjaya menerima cabaran dan menyiapkan semua enam tugasan dalam masa
tiga jam bagi kategori Rero Micro,”katanya.

Sementera itu seorang lagi jurulatih Cikgu Stewart Polycarp berkata,Jacky Chiew dan Allex Yeo pula berjaya menyiapkan lima daripada enam tugasan bagi kategori Rero Junior.

“Peserta adalah kumpulan pelajar The Young Programmers yang telah direkrut awal tahun ini,”katanya.

Kedua-dua pasukan sekolah itu akan mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan pada 11 hingga 12 September depan di Universiti Malaya.