SIMUNJAN: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simunjan No. 1 kini dipilih sebagai lokasi terbaharu bagi pelaksanaan kelas digital di bawah program Kesalinghubungan untuk Komuniti (CFC).
Inisiatif ini hasil kerjasama syarikat telekomunikasi serantau, EdgePoint Infrastructure bersama-sama rakan tempatan Demanlink Connexion Sdn Bhd yang bertekad memastikan pelajar di pedalaman turut menikmati akses Internet berkualiti.
Ketua Pegawai Eksekutif Demanlink, Hanad Yusuf berkata sambungan Internet bukan sekadar kemudahan teknologi, sebaliknya kunci kepada masa depan anak-anak Sarawak.
“Masih banyak kawasan pedalaman berdepan liputan Internet yang terhad atau tiada langsung, menyebabkan pelajar ketinggalan dalam pendidikan dan perkhidmatan asas yang lain.
“Projek CFC membantu menutup jurang itu dengan menyediakan peluang agar mereka mampu bersaing dalam dunia digital,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran hari ini yang turut disertai wakil daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Pejabat Pendidikan Daerah Simunjan.
Beliau menambah, kejayaan kelas digital pertama yang diperkenalkan di Long Miri tahun lalu membuktikan keberkesanannya, apabila kadar kehadiran murid meningkat dan pencapaian akademik menunjukkan perkembangan positif.
Kelas digital di SMK Simunjan No. 1 dilengkapi capaian Internet, komputer serta peralatan sokongan bagi membolehkan pengajaran dan pembelajaran berlangsung secara lebih interaktif dan menarik.
“Selain pelajar, komuniti setempat turut berpeluang memanfaatkan kemudahan ini, sekali gus memberi nilai tambah kepada penduduk luar bandar Simunjan,” ujar beliau.
Ketua Pegawai Eksekutif EdgePoint Towers, Muniff Kamaruddin pula berkata syarikatnya mahu memastikan peluang pendidikan digital dapat dinikmati secara menyeluruh, khususnya di Malaysia Timur.
Setakat ini, empat kelas digital diwujudkan di Malaysia – di Karak, Miri, Kota Belud dan kini Simunjan. EdgePoint menyasarkan untuk memperluas program ini ke 23 sekolah menjelang akhir 2025 dengan Sarawak menjadi antara penerima manfaat utama.

