MUKAH: Festival Saga Nusantara (SNF) 2026 menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan persaudaraan antara Malaysia dengan Indonesia menerusi kerjasama seni dan budaya yang menggabungkan warisan masyarakat Melanau serta Jawa.
Mengangkat tema “Warisan Bertemu Warisan: Melanau x Jawa”, festival ini bukan sekadar menampilkan persembahan seni dan budaya, malah mencerminkan persamaan akar budaya serta kekuatan persaudaraan melalui seni dan budaya antara kedua-dua masyarakat.

Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Dr. Abdullah Zulkifli, berkata festival tersebut ialah satu inovasi kerjasama rentas budaya yang menemukan dua tradisi dalam satu pentas.
Kata beliau, penganjuran festival itu buat julung kalinya menjadi detik penting dalam mengeratkan hubungan antara masyarakat Melanau dengan Jawa melalui pertukaran seni, muzik, tarian dan tradisi.
“SNF ialah usaha kerjasama inovatif yang buat pertama kalinya menemukan tradisi luhur masyarakat Melanau di Mukah dengan keindahan seni Jawa dari Solo serta kepelbagaian ekspresi seni budaya dari Pontianak.
“Lebih daripada sekadar persembahan, festival ini menjadi ruang dialog budaya yang menyatukan tradisi maritim Melanau, falsafah seni Jawa dan semangat persaudaraan serumpun di Pulau Borneo.
“Ini membuktikan bahawa seni dan budaya mampu menjadi jambatan persahabatan yang mengeratkan hubungan antara masyarakat kedua-dua negara,” katanya menerusi kenyataan.
Dalam pada itu, beliau turut menghargai seniman Indonesia dan Malaysia yang melaksanakan diplomasi hati ke hati menerusi kerjasama seni.
“Perbezaan ciri budaya Melanau dan Jawa bukanlah pemisah, sebaliknya kepelbagaian yang memperkayakan hubungan persaudaraan antara masyarakat serumpun,” ujarnya.
SNF 2026 yang berlangsung pada 21–25 Oktober di Petanak Beach Chalet and Cafe, Mukah, bertujuan memperkukuh pertukaran budaya antara masyarakat Melanau di Sarawak dan masyarakat Jawa di Indonesia.
Pelbagai aktiviti dilaksanakan, termasuk seni, muzik, tarian dan tradisi bagi memperkenalkan kekayaan warisan kedua-dua masyarakat kepada khalayak.
Sementara itu, Penganjur SNF 2026, Nur Faydyzah Abdul Aziz, memaklumkan Mukah dipilih sebagai lokasi festival kerana kekayaan budaya, tradisi dan warisan daerah itu yang mempunyai potensi besar untuk diperkenalkan menerusi platform kerjasama budaya.
Pada majlis pembukaan, Pengarah Tourism Malaysia Sarawak, Rubiah Tul’Adwiyah Md Yusuf, yang hadir mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Tiong King Sing, turut menegaskan bahawa SNF 2026 menjadi wadah bagi masyarakat untuk berkumpul dan meraikan kepelbagaian budaya.
Menurutnya, pertukaran tradisi, seni, kulinari dan amalan budaya dapat mengeratkan hubungan antara masyarakat Melanau dan Jawa, sekali gus membina persefahaman, persahabatan serta hubungan jangka panjang antara komuniti.
“Kekayaan budaya dan keindahan alam Sarawak ialah aset pelancongan yang berpotensi menarik pelancongan domestik dan antarabangsa.
“Selain mengukuhkan hubungan budaya, penganjuran festival itu turut membuka peluang mempromosikan produk tempatan, hasil kraf tangan, persembahan budaya serta kreativiti pengusaha setempat kepada khalayak lebih luas, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi dan memperkasa komuniti tempatan,” ujarnya.
Rangkaian acara SNF 2026 turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi Indonesia, Novia Bachmid, Alffy Rev dan Farhad Hasan, serta penyertaan Program Pengajian Seni Persembahan FKIP Universiti Tanjungpura, Pontianak, yang mempersembahkan muzik gamelan dan berkolaborasi bersama seniman tempatan.
Menerusi rangkaian acara Patehan Diraja Nusantara, Kelompok Sadar Wisata Patehan Yogyakarta turut memberikan pengalaman menikmati tradisi minum teh gaya Keraton Yogyakarta.
Penari Boby Ary Setiawan bersama kumpulan penari Jawa pula mempersembahkan keunikan seni tari tradisional Jawa menerusi kerjasama dengan kanak-kanak tempatan.
Dari Malaysia, penyertaan Sri Ritma Gamelan dan Gemersik Kenyalang Gamelan turut memperkukuh semangat kerjasama rentas budaya dalam festival itu.
Acara berkenaan diakhiri dengan persembahan Kelab Peminat P. Ramlee Sarawak.
Kehadiran seniman dan kumpulan seni dari Indonesia dan Malaysia bukan sahaja memperkaya pengalaman seni dan budaya pengunjung, malah mengukuhkan peranan SNF 2026 sebagai wadah pertukaran budaya, pemeliharaan warisan tradisi dan pengukuhan persaudaraan antara kedua-dua negara.
Menerusi SNF 2026, kerjasama antara seniman, komuniti dengan penggiat budaya dari kedua-dua wilayah diharap terus berkembang, membuka ruang pertukaran yang lebih luas serta menjadikan seni dan budaya sebagai asas persahabatan dan kerjasama mampan antara Indonesia dengan Malaysia.



