KUCHING: Sarawak bakal meneroka pembangunan platform infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan digital menerusi kerjasama strategik antara SoftBank Group, Grab dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).
Kerjasama itu dimeterai menerusi Perjanjian Kerangka yang ditandatangani hari ini bagi meneroka pembangunan platform berkenaan secara berfasa, termasuk peluang dalam rantaian nilai AI yang lebih luas.
Menurut kenyataan bersama, skop penerokaan merangkumi pengkomputeran dan perkhidmatan AI, teknologi termaju, robotik serta pembangunan tenaga kerja dan komuniti tempatan.
Perjanjian ditandatangani Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif SoftBank Group Corp., Masayoshi Son; Pengerusi Kumpulan, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Grab, Anthony Tan; serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETROS, Datuk Janin Girie.
Turut hadir Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Sarawak Energy dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki; Pengerusi PETROS, Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo dan Ahli Lembaga Pengarah PETROS, Datuk Sharbini Suhaili.
Kerjasama berkenaan menyokong aspirasi Sarawak membangunkan ekonomi berasaskan teknologi bernilai tinggi, selain menyumbang kepada pengembangan infrastruktur dan kesalinghubungan digital Malaysia, termasuk inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA).
SoftBank akan menyumbang ekosistem teknologi dan AI globalnya, termasuk kepakaran dalam infrastruktur AI, pengkomputeran termaju, semikonduktor dan teknologi fizikal AI, manakala Grab membawa ekosistem digital Asia Tenggara, keupayaan AI gunaan serta rangkaian pelanggan dan rakan niaga yang luas.
PETROS pula menyumbang kepakaran dalam memanfaatkan sumber tenaga Sarawak menerusi Pelan Hala Tuju Gas Sarawak dan peranannya sebagai Pemaju Utama Kuching Low-Carbon Hub (KLCH), selain membangunkan penyelesaian bekalan tenaga dan infrastruktur berkaitan.
Kerjasama itu dijangka memperkukuh pelibatan serta penciptaan nilai tempatan dalam rantaian bekalan Sarawak, selain menyokong aspirasi negeri menjadi destinasi infrastruktur AI dan industri teknologi bernilai tinggi.
Menurut kenyataan itu, kerjasama berkenaan juga menyokong aspirasi Malaysia menjadi hab serantau bagi AI dan infrastruktur digital serta sasaran Sarawak mencapai status berpendapatan tinggi menjelang 2030 menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Selain menarik pelaburan strategik, kerjasama itu turut memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dan keupayaan tempatan serta dijangka menjadi pemangkin aktiviti ekonomi berasaskan teknologi di Sarawak, Malaysia dan rantau lebih luas.

