KUCHING: Bermula dengan usaha memperkasa bola sepak di peringkat Kuching lebih sedekad lalu, Kuching City FC kini berdiri di ambang pentas Asia, dalam satu perjalanan yang turut didorong sokongan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Presiden Kuching City FC, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman, berkata Abang Johari merupakan antara tonggak utama yang menyokong dan mendorong perkembangan kelab itu sejak peringkat awal penubuhannya.
Menurutnya, perjalanan itu bermula pada 2012 ketika Abang Johari yang ketika itu merupakan ADUN Satok berhubung dengan Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching bagi menyatakan hasrat supaya bola sepak di peringkat Kuching dibangunkan.
Katanya, Abang Johari kemudian memberikan sokongan terhadap usaha berkenaan, termasuk penganjuran Piala Abang Jo yang diadakan setiap tahun sejak 2012.
“Visi beliau adalah untuk melihat bola sepak di Kuching berkembang dengan lebih jauh,” katanya pada Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik antara Kuching City FC dengan AFFIN Bank yang dihadiri Abang Johari, di sini, hari ini.
Beliau berkata pada 2015, pihaknya bertemu Abang Johari bagi memaklumkan mengenai penganjuran Liga Bola Sepak Rakyat di Malaysia, sekali gus membuka peluang kepada pasukan Kuching menguji kemampuan di pentas lebih besar.
Menurutnya, selepas beberapa tahun menganjurkan Piala Abang Jo, pihaknya yakin sudah mempunyai barisan pemain yang mencukupi untuk membentuk pasukan bagi mewakili Kuching dalam pertandingan berkenaan.
Katanya, hasrat itu kemudian mendapat persetujuan Abang Johari yang menggalakkan mereka menghantar pasukan Kuching menyertai Liga Bola Sepak Rakyat.
Beliau berkata, satu lagi detik penting dalam perjalanan itu berlaku pada 11 Januari 2017 apabila Abang Johari menjemput pihaknya menghadiri majlis makan malam.
Pada pertemuan itu, Abang Johari meminta kejayaan muncul juara Liga Bola Sepak Rakyat dijadikan asas untuk membawa pasukan ke peringkat seterusnya.
Pertemuan itu menjadi titik penting menyaksikan perjalanan Kuching City FC terus berkembang dengan bimbingan dan nasihat daripada Premier Sarawak sehingga hari ini.
Menurutnya, Kuching City FC kemudiannya dibangunkan langkah demi langkah dan musim demi musim, termasuk mengharungi pelbagai cabaran serta tempoh sukar sebelum berjaya meningkat daripada peringkat terendah bola sepak Malaysia ke Liga Super.
Katanya, kelab itu kini bersedia membawa nama Kuching dan Sarawak ke pentas Asia buat kali pertama menerusi Kejuaraan Kelab ASEAN (Shopee Cup).

