ARTIKEL

Sokongan Pemilik Tanah Percepat Projek Naik Taraf Jalan Musi–Buso

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kesediaan pemilik tanah yang sentiasa menyokong inisiatif pembangunan Kerajaan Sarawak dengan menyerahkan tanah, meskipun pampasan belum dibayar sebelum ini, membolehkan projek naik taraf Jalan Musi–Buso bernilai RM78 juta dilaksanakan lebih awal.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep berkata, cek pampasan tanah berjumlah RM4,070,679.70 telah diserahkan kepada 78 penerima melibatkan 45 lot tanah berhak milik bagi fasa pertama.

Menurutnya, jumlah itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan nilai pampasan melebihi RM11 juta yang melibatkan kira-kira 150 pemilik tanah dengan 115 lot terkesan.

“Masih terdapat baki pampasan berjumlah lebih RM7 juta untuk diserahkan kepada pemilik-pemilik tanah dan kita jangka, sekiranya dapat diusahakan, ia akan diserahkan sebelum Tahun Baharu Cina, iaitu sebelum 17 Februari ini.

“Saya percaya Jabatan Tanah dan Survei, dengan keupayaan yang ada, dapat menyediakan baki cek pampasan tersebut,” katanya.

Datuk Henry Harry Jinep (tengah) bergambar bersama pegawai dan pemimpin masyarakat serta para penerima cek pampasan selepas majlis penyerahan. GAMBAR: RAMIDI SUBARI

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Pampasan Projek Naik Taraf Jalan Musi–Buso di Dewan Masyarakat Musi, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pemilik tanah yang tidak ragu-ragu memberikan sokongan kepada kerajaan, termasuk Jabatan Tanah dan Survei serta Jabatan Kerja Raya, meskipun pampasan masih belum diterima sepenuhnya.

Mengulas lanjut, katanya, sokongan pemilik tanah itu didorong oleh keinginan mereka untuk melihat pembangunan dilaksanakan di kawasan berkenaan.

“Mereka mahukan pembangunan. Walaupun pampasan belum dibayar, mereka sanggup memberi ruang untuk kita memulakan projek ini.

“Ini merupakan satu situasi yang amat baik kerana membolehkan pembangunan dilaksanakan, khususnya di kawasan luar bandar.

“Justeru, saya memberi jaminan bahawa Kerajaan Gabungan Parti Sarawak akan tetap membayar pampasan tersebut. Ketika ini, proses penyediaan cek bagi baki selebihnya masih sedang dilaksanakan,” ujarnya.

Datuk Henry Harry Jinep bercakap pada sidang media. GAMBAR: RAMIDI SUBARI

Beliau menjelaskan bahawa, apabila jalan berkenaan siap kelak, ia akan menyediakan beberapa laluan alternatif strategik antara Bau, Kuching dan Lebuh Raya Pan Borneo, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan trafik yang semakin kerap berlaku di Bau.

Dalam pada itu, beliau berkata, projek naik taraf Jalan Musi–Buso melibatkan pembinaan jalan dua lorong satu hala sepanjang 7.5 kilometer yang bermula Disember lalu dan dijangka siap dalam tempoh kira-kira dua tahun.

Beliau menambah, kawasan Musi dan Buso dikenal pasti sebagai zon bercampur yang mempunyai potensi tinggi untuk pembangunan masa depan, selaras dengan Pelan Induk Bau.

“Dengan siapnya akses jalan ini, ia akan menggalakkan pertumbuhan pesat pembangunan perumahan, komersial dan industri ringan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yakin dengan kerjasama semua pihak, projek berkenaan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan agresif bagi memastikan ia siap dalam tempoh yang ditetapkan, sekali gus memberi manfaat serta kemudahan kepada penduduk setempat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU