PADAWAN: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Douglas Uggah menyeru pengundi Tarat untuk memberi sokongan kepada Datuk Roland Sagah Wee Inn sekiranya beliau dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Dun Tarat kelak.
Menurutnya, Sagah merupakan seorang pemimpin yang paling layak bagi kawasan tersebut atas sikapnya yang berjiwa rakyat dan sentiasa memikirkan nasib penduduk tempatan.
“Sagah merupakan seorang wakil yang sentiasa meluangkan masa untuk bertemu dengan rakyat, cekap bekerja dan seorang penyabar, justeru beliau calon yang terbaik untuk menjaga kawasan ini.
“Beliau sentiasa prihatin dengan kebajikan rakyat terutama yang berada di luar bandar dan sentiasa memikirkan cara untuk meningkatkan taraf ekonomi penduduk khususnya di kawasan Tarat,” katanya semasa Majlis Perasmian AgriCOP dan Pecah Tanah Inkubator Pemprosesan Kopi dan Kerepek, di sini, semalam.
Sagah yang juga Menteri Muda Pemodenan Pertanian Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak telah menjadi penyandang Dun Tarat selama lima penggal, sejak memenangi kerusi itu pada 1996.



