ARTIKEL

Soul City ,Hyper Freedom meriahkan Kuching

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PADA 4 Disember depan, Kuching bakal bergema dengan irama R&B dan dentuman muzik elektronik menerusi Soul City – An R&B Night dan Festival Hyper Freedom di Kuching Waterfront Esplanade.

Kedua-dua acara yang berlangsung selama tiga hari itu dijangka menambah warna kalendar pelancongan dan hiburan Sarawak, sekali gus membuka peluang kepada penggiat industri kreatif tempatan untuk menimba pengalaman melalui penganjuran acara berskala besar.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan berkata, penganjuran festival muzik dengan genre yang berbeza mampu mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelancongan berasaskan acara.

“Sarawak menganjurkan lebih 400 acara setiap tahun, justeru kehadiran festival seperti Soul City dan Hyper Freedom melengkapkan pilihan hiburan yang dapat menarik pelbagai kelompok pengunjung,” katanya.

Tambah beliau, kepelbagaian genre daripada R&B yang membangkitkan nostalgia hingga muzik elektronik (EDM) membolehkan Sarawak menarik peminat muzik daripada latar belakang yang berbeza.

“Apabila kita membawa masuk acara seperti ini, manfaatnya bukan hanya kepada penganjur atau peminat muzik, tetapi turut melibatkan sektor lain seperti hotel, restoran, pengangkutan, percetakan serta perkhidmatan teknikal.

“Pengunjung dari Semenanjung Malaysia, Sabah, Brunei dan Kalimantan Barat juga berpeluang meneroka budaya, makanan serta tarikan pelancongan tempatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penganjuran acara sedemikian turut membuka ruang kepada syarikat tempatan untuk melibatkan diri dalam pelbagai aspek produksi, termasuk penyediaan peralatan, perkhidmatan teknikal dan pengurusan acara.

“Pelibatan ini penting bagi memberi pendedahan kepada DJ, pemuzik serta kru teknikal tempatan untuk bekerjasama dengan produksi antarabangsa, di samping mempelajari penggunaan peralatan dan perkembangan teknologi terkini,” tambahnya.

Beliau memaklumkan, industri kreatif tidak seharusnya dilihat hanya melalui persembahan penyanyi atau pemuzik.

“Hal ini demikian kerana sektor ini turut merangkumi pelbagai bidang sokongan yang berpotensi menyediakan peluang pekerjaan dan membangunkan bakat tempatan.

“Kita tidak mahu Sarawak hanya menjadi penonton. Kita mahu anak tempatan turut menjadi peserta, pencipta dan pemimpin dalam industri ini,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penganjuran festival muzik juga selari dengan lima elemen utama pelancongan Sarawak, iaitu budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan festival.

“Oleh itu, saya berharap acara ini dapat menjadi penanda aras kepada pembangunan industri muzik dan kreatif negeri.

“Malah, acara ini dapat membuka lebih banyak peluang kepada bakat tempatan untuk berkembang,” katanya.

Sementara itu, penganjur Soul City – An R&B Night, Hazirah Ibrahim berkata, acara yang dijadualkan berlangsung pada 4 Disember dari jam 6.00 petang hingga tengah malam itu merupakan usaha membawa pengalaman muzik R&B kepada peminat di Kuching.

“Festival ini akan menampilkan Cakra Khan sebagai artis jemputan khas, selain Rufedge, Lah Ahmad, Innuendo dan The Fabulous Cats, dengan Datuk Acis bertindak sebagai pengarah muzik.

“Menariknya, keputusan membawa acara ini ke Kuching dibuat selepas mengambil kira sambutan terhadap penganjuran terdahulu di Unifi Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, yang menarik kira-kira 14,000 penonton,” tambahnya.

Katanya, terdapat peminat dari Kuching yang sebelum ini sanggup ke Kuala Lumpur untuk menghadiri acara itu, sekali gus mendorong pihaknya mencuba pasaran Sarawak “Kami mahu melihat sambutan peminat di Kuching dan berharap acara ini mendapat sokongan yang baik.

“Jika penerimaannya positif, kami berhasrat untuk kembali tahun depan dengan barisan artis yang berbeza, termasuk dari negara lain,” katanya.

Tambahnya, penganjuran itu juga diharap dapat memberi peluang kepada peminat tempatan menikmati persembahan artis pilihan mereka tanpa perlu melakukan perjalanan jauh ke luar Sarawak.

Selepas malam R&B itu, suasana muzik di Kuching Waterfront Esplanade akan diteruskan menerusi Festival Hyper Freedom pada 5 dan 6 Disember.

Penganjur Festival Hyper Freedom, Simon Liew daripada Hyper Freedom Dream Sdn. Bhd. berkata, festival itu memberikan tumpuan kepada muzik elektronik dengan gabungan genre Hardstyle, Hardcore dan EDM.

“Antara tarikan utama ialah persembahan Showtek, selain Code Black, Wildstylez, Ran-D, Garavel, Bayka, Hannah X, SUAE dan Technikore. “Antara artis lain yang turut membuat persembahan adalah Verzan, YLII, N52, +BLINK, Cross nger, Denka, MYMAX, Mu n, MILE, Rachel B., , Suicideboy dan TINO,” jelasnya.

Menurut Simon, festival itu bukan sahaja menyediakan platform hiburan kepada peminat muzik elektronik, malah menjadi sebahagian daripada usaha memperkenalkan Sarawak kepada pasaran antarabangsa.

Katanya, pihak penganjur mempunyai rangkaian kerjasama dengan rakan industri di China, Hong Kong dan Taiwan yang berpotensi membantu memperluas promosi festival serta menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini.

“Kami mahu lebih ramai orang mengenali Sarawak dan datang ke sini.

“Apabila pengunjung meningkat, mereka bukan sahaja menghadiri festival, tetapi turut berbelanja di hotel, restoran dan perniagaan tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap penganjuran festival itu dapat merangsang sektor pelancongan dan membuka peluang perniagaan serta pelaburan menerusi hubungan yang terjalin dengan pasaran luar negara.

Dengan Soul City – An R&B Night pada 4 Disember, diikuti Festival Hyper Freedom pada 5 dan 6 Disember, Kuching bakal menawarkan pengalaman muzik yang merentasi genre dan generasi.

BERITA LAIN

Belia OKU cetus inspirasi

KEJAYAAN seorang belia Orang Kurang Upaya (OKU) membina kerjaya sebagai pencipta kandungan sehingga bergelar usahawan membuktikan kekurangan fizikal bukan penghalang untuk mencapai kejayaan. Anggota Majlis

Didik murid jaga kebersihan tandas

DEWAN Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menerusi Bahagian Kesihatan Persekitaran menganjurkan Sambutan Hari Tandas Sedunia 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Petra Jaya, Kuching, pada 19 November

BERITA TERBARU

Maybank peruntuk RM100 juta perkasa usahawan mikro

KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd (Maybank) memperuntukkan RM100 juta dalam program iTEKAD bagi tempoh lima tahun sehingga 2030 bagi membantu usahawan mikro mendapat akses kemudahan

Tellian kekal warisan Melanau

KAMPUNG Tellian, Mukah, bukan sekadar perkampungan yang mempunyai sejarah panjang dalam pembentukan masyarakat Melanau, malah menjadi saksi kepada kehidupan generasi terdahulu yang banyak bergantung pada