KEJAYAAN seorang belia Orang Kurang Upaya (OKU) membina kerjaya sebagai pencipta kandungan sehingga bergelar usahawan membuktikan kekurangan fizikal bukan penghalang untuk mencapai kejayaan.
Anggota Majlis Komuniti Belia Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Fadelize Givan Annuar Putit berkongsi pengalaman dan perjalanan kerjayanya sebagai salah seorang panel dalam program Youth Leadership & ESG Action Dialogue in Sarawak yang berlangsung di Auditorium, Muzium Budaya Borneo, Kuching, pada 19 November lalu.
Perkongsian beliau mengetengahkan cabaran serta pengalaman membina kerjaya dalam bidang penciptaan kandungan, selain menjadi inspirasi kepada golongan belia untuk terus berusaha dan meneroka potensi diri tanpa menjadikan kekurangan fizikal sebagai batasan.
Program berkenaan menghimpunkan golongan belia, pihak berkepentingan dan rakan strategik bagi berkongsi pandangan mengenai kepimpinan belia serta meneroka peluang dalam membentuk masa depan Sarawak yang lebih inklusif dan mampan.
Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) melalui Majlis Komuniti Belia DBKU turut menyertai program berkenaan yang diwakili Nur Amanina Baihaki, Asri Hazwan Harun dan Ainna Nazwa Syahirah Ahmad bersama-sama Noraini Karim Abdillah.
Penyertaan itu diharap dapat memperkukuh peranan golongan belia sebagai rakan strategik dalam pembangunan komuniti, selain melahirkan generasi pemimpin yang berdaya saing, inovatif dan prihatin terhadap agenda kelestarian.



