SPAOH: Sebahagian besar kawasan Spaoh dan beberapa kampung di sekitarnya terputus bekalan air ekoran paip utama putus.
Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dalam kenyataannya memaklumkan, gangguan sejak malam tadi dijangka berlarutan sehingga sehingga 6 April iaitu empat hari akan datang.
Antara kawasan yang dikenal pasti terjejas ialah Spaoh, Pasar Spaoh, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Spaoh, Sekolah Kebangsaan (SK) Spaoh, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Spaoh, Rh Bangkit, Rh Suri, Kampung Bungin, Serembang, Mangut, Kebun Cina dan kampung-kampung berhampiran.
Pejabat JBALB yang dihubungi pagi ini mengesahkan proses membaiki paip utama yang terputus bermula hari ini.
Selain itu pihaknya, sudah mula menghantar bekalan air menggunakan lori tangki dan pihak kontraktor selain bantuan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong yang menggunakan Primmover Water Tanker.
Pegawai Operasi BBP Betong PBK I Henry Jugah mengesahkan pagi ini dia bersama dua anggotanya memberikan khidmat khas menghantar air ke kawasan yang terjejas.
“Kami menerima arahan Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban Datuk Amar Douglas Uggah Embas melalui Setiausaha Politik Ketua Menteri Dr Richard Rapu.
“Kami diminta untuk membekalkan air bersih ke 90 pintu penduduk Cina dan 700 pintu di kawasan perkampungan Melayu,” katanya.
Jelasnya, sebuah Primmover Water Tanker yang mampu membawa 22,000 liter air digunakan.