BETONG: Pengurus Betong, Awang Nashfarini Awang Sarbini berkata, pihaknya akur dengan kekalahan ketika berdepan Samarahan dalam perlawanan yang berlangsung hujung minggu lalu.
Bagaimanapun katanya, keputusan tersebut sama sekali tidak mematahkan semangat para pemain, sebaliknya menjadi pengalaman berharga dalam memperkuatkan lagi persiapan pasukan menghadapi perlawanan seterusnya.
“Pertemuan menentang Samarahan hujung minggu lalu turut memberi banyak pendedahan kepada pemain, terutama dalam menilai kekuatan pasukan serta mengenal pasti beberapa aspek kelemahan yang perlu diperbaiki selepas ini,” ujar beliau kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Awang Nashfarini, pengalaman daripada perlawanan tersebut akan dijadikan pemangkin semangat untuk para pemain terus bekerja keras selepas ini.
Dengan kata lain, pihaknya akan memperkemaskan permainan dan meningkatkan prestasi pasukan dengan tempoh masa yang ada.
“Skuad Betong kini mahu terus memandang ke hadapan dengan semangat yang lebih positif serta memberi fokus sepenuhnya terhadap perlawanan akan datang.
“Setiap perlawanan merupakan peluang untuk pasukan tampil lebih baik selepas ini,” tambah beliau.
Pasukan Betong selepas mengharungi dua perlawanan Zon Selatan, Liga Premier Sarawak 2026 (SPL 2026) menggumpul satu mata.
Perlawanan ketiga akan menentang Kuching di Padang Perumahan, Jalan Astana pada Sabtu ini.



