BALAI RINGIN: Rekod tanpa kalah skuad Samarahan dalam kancah Liga Premier Sarawak 2026 (SPL 2026) masih belum tercalar.
Anak buah Ideris Untong berjaya memperoleh satu mata berharga selepas mencatat keputusan seri 1-1 menentang Serian pada perlawanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Balai Ringin, petang tadi.

Bintang berpengalaman, Mohd. Aluddin Farid Atan, muncul penyelamat ‘The Nyo’ apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-62.
Tuan rumah terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Mohamad Cairum Ridzuan Mohd. Razi pada minit ke-55.
Aksi berlangsung rancak dan seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sepanjang perlawanan.
Masing-masing mempunyai peluang untuk menambah jaringan berdasarkan deretan peluang yang dicipta.
Keputusan seri itu bagaimanapun masih mengekalkan Samarahan di tangga teratas Zon Selatan dengan 13 mata setakat ini.
Beliau percaya pemainnya telah berusaha memberikan yang terbaik sepanjang perlawanan tersebut.
Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS), Mohd. Azri Johari, tetap memuji semangat juang pemainnya meskipun terlepas peluang untuk memperoleh tiga mata penuh.
“Saya percaya pemain telah memberikan yang terbaik pada perlawanan tersebut.
“Kita mempunyai peluang untuk memperbaiki perbezaan gol yang ada, namun segalanya tidak memihak kepada Samarahan,” tegas Azri.
Sambil itu, beliau percaya keputusan seri yang diperoleh tidak akan melunturkan semangat pemain untuk mengharungi perlawanan seterusnya.



