SPM kayu ukur pencapaian pelajar

KUCHING: Cadangan untuk membatalkan peperiksaan SPM 2020 tidak dipersetujui beberapa pertubuhan berkepentingan dalam pendidikan, kerana berpandangan ia akan merugikan pelajar.
Naib Presiden 1 Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (Mapim) Kebangsaan Omar Immun berkata, langkah itu dilihat merugikan sekiranya sijil SPM 2020 hanya dikira berdasarkan kepada beberapa kriteria tertentu.
“Jika sijil diberikan berdasarkan kepada keputusan ujian terdahulu, peperiksaan percubaan dan kerja kursus, ia tidak menggambarkan keseluruhan pencapaian pelajar berkenaan.

OMAR IMMUN

“Ada kemungkinan semasa kriteria berkenaan berlaku, pelajar tidak memberikan fokus terbaik dan beberapa aspek lain juga harus diambil kira kerana ini pertama kali berlaku dalam sejarah pendidikan negara,” katanya yang dihubungi baru-baru ini.
Beliau mengulas mengenai cadangan Pengerusi DAP Sarawak yang juga Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen agar peperiksaan SPM 2020 yang dijadual pada suku pertama tahun ini dibatalkan dan sijil SPM diberikan kepada pelajar berdasarkan penilaian ujian terdahulu.
Menurut Omar merangkap Yang DiPertua Mapim Sarawak, peperiksaan SPM 2020 boleh diteruskan dengan mengikut budi bicara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Beliau secara peribadi berpandangan KPM akan meletakkan satu aras untuk melaksanakan peperiksaan SPM dengan kapasiti yang sesuai berdasarkan keadaan semasa kerana pandemik Covid-19 yang belaku benar-benar di luar kawalan manusia.
ADAM PARKASH ABDULLAH

Manakala Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) Adam Parkash Abdullah berkata, sekiranya calon SPM 2020 diberikan sijil tanpa menduduki peperiksaan, ia akan berhadapan dengan isu penyeragaman keputusan pelajar.
“Bagaimanakah kita akan menyamakan skor A+ di sekolah A dengan skor A+ di sekolah B. “Isu kesahan dan kebolehpercayaan sijil SPM akan menjadi masalah kepada calon itu nanti apabila menggunakan sijil tersebut memohon kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA),” katanya.
Beliau menambah, perlu difahami juga calon SPM 2020 tidak mempunyai mata merit sebagai kriteria untuk mengesahkan pencapaian pelajar. Maka, katanya agak sukar untuk menawarkan sjil bertaraf SPM kepada calon sekiranya mereka tidak melalui proses penilaian dan peperiksaan yang sudah tentu akan memberi gambaran yang terbaik tentang kebolehan seseorang pelajar.
AHMAD MALIE

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Ahmad Malie berkata, peperiksaan SPM amat penting sebagai tapisan terakhir sebelum seseorang pelajar meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya.
Namun, katanya kaedah pelaksanaannya terutama dari segi subjek perlu dikaji semula seperti fokus kepada subjek utama seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Matematik, Sains dan Sejarah.
“Subjek ini boleh menjadi sebagai asas dan kayu ukur bagi menentukan kelayakan pelajar meneruskan pengajian serta disokong dengan pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) bagi subjek yang lain sekiranya perlu,” katanya.
 

Suara Sarawak