KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) memandang serius hebahan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) mengenai kepentingan kehadiran calon dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Presiden KGBS, Zulkiflee Sebli, menyeru agar calon-calon SPM 2024 tidak mengambil sikap sambil lewa terhadap peperiksaan tersebut.
Menurut beliau, statistik tahun lalu menunjukkan lebih 10,000 calon tercicir daripada menduduki peperiksaan, situasi yang dianggap sebagai kerugian besar dan boleh menjejaskan masa depan mereka.
“Kita tidak mahu jumlah calon tercicir seperti tahun sebelumnya berulang. Ibu bapa memainkan peranan penting untuk memantau dan memastikan anak-anak hadir menjawab peperiksaan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa SPM adalah langkah penting dalam menentukan masa depan pelajar.
“Walaupun sesetengah calon mampu menjana pendapatan tinggi sebagai pempengaruh media sosial, sijil SPM tetap lebih penting sebagai asas masa depan mereka,” tambahnya.
Zulkiflee turut menyeru ibu bapa agar memeriksa jadual peperiksaan anak-anak mereka untuk memastikan tiada kertas peperiksaan yang terlepas.
Beliau juga menyarankan pihak sekolah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan skuad khas bagi menjejaki calon yang gagal hadir menduduki peperiksaan.
“Nombor telefon terkini calon perlu dikemas kini untuk memudahkan perhubungan dan mengenal pasti masalah yang dihadapi,” jelasnya.
Selain itu, beliau yakin bahawa pihak sekolah sudah menyediakan persiapan rapi bagi memastikan kebajikan calon, terutamanya pelajar asrama, sepanjang tempoh peperiksaan.
“Saya berharap anak-anak akan bersemangat dan bersedia sepenuhnya untuk menghadapi peperiksaan ini serta diberi kesihatan yang baik bagi menduduki semua kertas SPM,” katanya.

