KUCHING: Persatuan Ejen Produk Petroleum Sarawak (SPPAA) menggesa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak supaya menangguhkan pelaksanaan Skim Kawalan Diesel Subsidi 2.0 (SKDS 2.0) serta Skim Petrol Subsidi (SKPS) di negeri ini sehingga sistem logistik, kewangan, dan digital benar-benar bersedia.
Gesaan tersebut dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengenai pelaksanaan subsidi bersasar, termasuk harga petrol RON95 yang ditetapkan pada kadar RM1.99 seliter bagi rakyat Malaysia di bawah SKPS serta penambahbaikan kepada SKDS.
Pengerusi SPPAA, Laura Hartini Maurice berkata, walaupun pihak mereka menyokong penuh hasrat kerajaan untuk memastikan subsidi dapat dinikmati golongan yang memerlukan, Sarawak mempunyai keperluan operasi yang unik dan memerlukan pendekatan berbeza.
“Pelaksanaan sistem ini di Sarawak menghadapi cabaran yang besar, terutamanya bagi stesen minyak kecil dan di kawasan luar bandar yang beroperasi dalam skala yang lebih rendah,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau menyifatkan kedua-dua skim subsidi tersebut masih belum dilaksanakan di Sarawak dan menekankan kepentingan persediaan menyeluruh sebelum pelaksanaan rasmi dijalankan.
“Dalam sistem baharu ini, pengusaha stesen minyak perlu membeli bahan api pada harga pasaran dan menunggu bayaran balik subsidi.
“Keadaan ini dijangka memberi kesan terhadap aliran tunai, khususnya bagi pengusaha yang beroperasi dalam skala kecil,”jelasnya.
Pelaksanaan harga dua peringkat untuk diesel dan petrol memerlukan sistem pengesahan kelayakan yang diluluskan kerajaan.
“Ini kerana, peningkatan sistem jualan di kaunter (POS), dan latihan untuk kakitangan bukanlah proses yang mudah bagi kebanyakan pengusaha, terutamanya di kawasan pedalaman,” jelas beliau.
Katanya, SPPAA turut menyatakan keprihatinan terhadap kesan caj Kadar Diskaun Pedagang (MDR) yang meningkat akibat peningkatan transaksi tanpa tunai, yang didakwa mengurangkan margin keuntungan.
“Kami mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan penggunaan penyelesaian pembayaran digital yang mengenakan caj rendah atau sifar, terutama untuk stesen minyak di kawasan luar bandar,”ujarnya.
Selain itu, SPPAA menyambut baik semakan margin APM untuk diesel yang diumumkan baru-baru ini, namun menyuarakan kebimbangan kerana tiada semakan margin petrol diumumkan walaupun pelaksanaan SKPS bakal dijalankan.
“Pelaksanaan SKPS tanpa semakan margin petrol yang baharu berpotensi menjejaskan daya tahan kewangan pengusaha stesen minyak,” menurut kenyataan itu.
SPPAA menyeru agar proses pelaksanaan ditangguhkan sehingga semua aspek logistik, kewangan, dan digital dapat diselaraskan sepenuhnya.
“Kami mencadangkan agar kerajaan negeri mempertimbangkan kemudahan kewangan bersasar bagi membantu pengusaha stesen minyak sepanjang tempoh peralihan ini,”jelasnya.




