SERAMAI 57 calon daripada empat Sekolah Rendah Islam (SRI) di bawah rangkaian Musleh di Sarawak menerima keputusan Syahadah Pentaksiran Pelajar IKRAM Musleh (SPPIM) bagi tahun ini di sekolah masing-masing.
Keputusan yang diumumkan secara rasmi pada Isnin lalu disambut dengan penuh rasa syukur dan kegembiraan oleh para calon bersama ibu bapa yang turut hadir mengiringi mereka. SRI Al-Amin Matang (SRIAAM) telah mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) 1.2 dan tersenarai sebagai sekolah terbaik dalam subjek Akhlak, Hafazan al-Quran dan Tunas Kadet Remaja Sekolah (Disiplin).
Sementara itu, SRI AlAmin Bintulu (SRIAAB) turut mencapai GPS 1.2 dan tersenarai sebagai sekolah terbaik dalam subjek Akhlak, Akidah, Sirah dan TKRS (Kemahiran Sosial).
SRI Al-Amin Kuching pula mencatat GPS 2.0 serta tersenarai sebagai sekolah terbaik dalam subjek TKRS (Musleh).
Ucapan tahniah disampaikan kepada semua guru besar, guru dan seluruh warga sekolah di bawah rangkaian Musleh atas kejayaan murid Tahun 6 sesi 2025/2026.
Penghargaan juga diberikan kepada ibu bapa dan penjaga yang sentiasa memberikan dorongan serta sokongan padu sepanjang tempoh pembelajaran dan pentaksiran dijalankan.
SPPIM (SRI) merupakan satu bentuk pentaksiran berasaskan sekolah yang diperkenalkan bagi menilai kemenjadian murid secara menyeluruh, merangkumi aspek akademik, sahsiah dan kemahiran insaniah.
Ia dijalankan khusus untuk murid tahun akhir sekolah rendah dalam rangkaian Musleh di seluruh negara.
Pentaksiran ini melibatkan peperiksaan bertulis yang menyumbang 40 peratus daripada markah keseluruhan, manakala baki 60 peratus dinilai melalui pelbagai bentuk penilaian berterusan seperti kerja kursus, projek, latihan amali, ujian lisan, hafazan dan pentaksiran konstruk murid.
Melalui pelaksanaan SPPIM ini, pihak sekolah dapat menilai potensi murid secara holistik, selaras dengan hasrat Musleh untuk melahirkan insan rabbani, berilmu dan berakhlak mulia.
Keputusan yang diterima diharapkan menjadi pemangkin semangat kepada murid lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dunia dan akhirat.



