ARTIKEL

SPR buka semakan daftar pemilih tambahan Ogos 2026

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Seramai 43,309 warganegara berusia 18 tahun dan ke atas didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu dalam Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2026 (DPT BLN8/2026).

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, DPT BLN8/2026 turut mengandungi 34,411 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 2,728 pemilih yang bertukar kategori pengundi atau status.

“DPT BLN8/2026 telah diperaku pada 24 September 2026 dan diwartakan pada 25 September 2026,” katanya.

“Daftar berkenaan dibuka untuk semakan selama 30 hari bermula 25 September hingga 24 Oktober 2026,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut beliau, SPR menyediakan lima kaedah semakan DPT BLN8/2026 menerusi portal rasmi SPR, portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri, aplikasi dalam talian MySPR, aplikasi mudah alih MySPR Semak serta talian Hotline Semakan Pendaftaran Pemilih di 03-8892 7218.

Ujarnya, warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Ogos 2026 serta pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran kategori pengundi atau status perlu menyemak nama mereka dalam DPT BLN8/2026.

Sehubungan itu, Khairul memberitahu, mereka yang mendapati nama tidak disenaraikan dalam DPT berkenaan boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C menerusi aplikasi dalam talian MySPR atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri berkenaan.

“Pada masa sama, pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang mahu membuat bantahan terhadap kemasukan nama pemilih yang bertukar ke bahagian pilihan raya berkenaan boleh mengisi Borang D menerusi aplikasi MySPR atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri,” katanya.

“Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan sepanjang tempoh semakan DPT BLN8/2026,” tambahnya.

Sebarang pertanyaan berkaitan urusan semakan DPT BLN8/2026 boleh diajukan kepada SPR menerusi portal rasmi SPR, talian 03-8892 7218 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU