SELANGAU: Pemanca Daerah Selangau Mathew Belawan berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertimbangkan cadangan mewujudkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu Bukit Arip di bawah Parlimen Selangau dalam proses persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak.
Beliau berkata cadangan itu dibuat bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat di kawasan pedalaman dapat dilaksanakan secara lebih berkesan, mengambil kira keluasan geografi serta cabaran akses di Parlimen Selangau.
Menurut beliau, walaupun masyarakat menghargai usaha SPR melaksanakan persempadanan semula berdasarkan pertambahan jumlah pengundi, faktor keluasan kawasan serta kesukaran perhubungan di pedalaman Sarawak perlu diberi pertimbangan.
“SPR tidak seharusnya hanya melihat jumlah pengundi semata-mata. Realiti geografi di Selangau jauh berbeza berbanding banyak kawasan lain dan perkara ini perlu dinilai secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mathew berkata, DUN Bukit Arip yang dicadangkan merangkumi sebahagian kawasan DUN Tamin dan DUN Kakus akan memudahkan pentadbiran serta penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
Beliau menjelaskan, DUN Kakus kini merentasi tiga bahagian pentadbiran iaitu Bintulu, Sibu dan Mukah, selain melibatkan pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Daerah Dalat dan Mukah, Lembaga Kemajuan Bintulu serta Majlis Daerah Luar Bandar Sibu.
Katanya, Parlimen Selangau meliputi kawasan seluas kira-kira 9,193 kilometer persegi dengan DUN Kakus berkeluasan 5,701 kilometer persegi, manakala DUN Tamin seluas 3,492 kilometer persegi.
Beliau berkata, keluasan kawasan itu melibatkan lebih 800 lokaliti rumah panjang yang berselerak, sekali gus menyukarkan wakil rakyat memberikan perkhidmatan secara menyeluruh.
“Perjalanan dari Ulu Siong ke Long Beyak mencecah hampir 400 kilometer dan bukan semuanya melalui jalan berturap, malah masih melibatkan jalan bekas balak serta jalan ladang,” katanya.
Menurut Mathew, DUN Tamin meliputi kawasan dari Ulu Oya, Ulu Selangau dan Pasai Siong hingga ke Kemena, manakala DUN Kakus merangkumi Long Beyak berhampiran Belaga, Ulu Kakus, Ulu Anap sehingga ke Arip dan Bawan Balingian.
Beliau berkata, cadangan mewujudkan DUN Bukit Arip selari dengan perkembangan pembangunan di kawasan berkenaan termasuk projek Pig Farming Area (PFA) di Sungai Selabi dan projek Rehat dan Rawat (RnR) di Sungai Arip, serta terletak dalam kawasan Mid Rejang Regional Development Agency (MiRRDA) dan Sibu Economic Zone.
Katanya, pertumbuhan pembangunan dan ekonomi di kawasan itu memerlukan sistem pentadbiran yang lebih tersusun bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati penduduk secara saksama.
Untuk rekod, Parlimen Selangau mempunyai kira-kira 49,265 pengundi setakat Januari 2026 dan merupakan Parlimen ketiga terbesar di Sarawak selepas Parlimen Hulu Rejang dan Parlimen Baram.
Kedua-dua parlimen itu masing-masing mempunyai tiga kawasan DUN susulan persempadanan semula yang diluluskan Dewan Rakyat pada Disember 2015, manakala Parlimen Selangau kekal dengan dua kawasan DUN.






