ARTIKEL

SPR keluar 73 kertas undi pos PRK DUN Jepak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan sebanyak 73 kertas undi pos kepada yang
berhak untuk mengundi secara pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Jepak.

Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengeluaran kertas undi tersebut dilakukan oleh petugas pilihan raya yang dilantik pegawai pengurus pada Isnin, 23 Oktober lalu.

Menurutnya, proses pengeluaran kertas undi pos berkenaan dijalankan dengan kehadiran ejen undi pos daripada calon-calon yang bertanding.

“Sebanyak 70 kertas undi pos yang dikeluarkan adalah terdiri daripada Kategori 1A yang melibatkan petugas pilihan raya dan anggota polis.

“Manakala satu kertas undi pos bagi Kategori 1B iaitu warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara serta dua lagi untuk Kategori 1C melibatkan agensi dan organisasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, kesemua anggota polis yang terlibat dalam PRK tersebut telah dikeluarkan
kertas undi pos.

“Oleh itu, tiada pusat mengundi awal dibuka pada 31 Oktober nanti,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul dalam borang Perisytiharan Identiti (Borang 2).

“Semua kertas undi hendaklah segera dikembalikan kepada pegawai pengurus berkenaan sebelum
pukul 5:00 petang pada hari mengundi, 4 November depan.

“Para pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” tegasnya.

PRK DUN Jepak diadakan pada 4 November ini susulan kematian penyandang kerusi berkenaan, Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lalu.

DUN tersebut mempunyai seramai 22,804 pemilih yang terdiri daripada 22,761 pengundi biasa dan 43 anggota polis.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU